Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Rakyat diingatkan supaya tidak sewenangnya membuat hantaran di media sosial dengan sengaja mencetuskan provokasi yang berunsurkan elemen 3R ditakrifkan sebagai perkauman, agama dan institusi Diraja (Race, Religion, Royalty).

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, negara ini mempunyai undang-undang yang boleh menghukum individu yang dengan sengaja menyentuh sensitiviti dalam media sosial.

“Baru-baru ini, kita baca dalam media bagaimana pihak polis telah melakukan pendakwaan terhadap beberapa individu yang dikatakan telah menyalahgunakan hantaran di media sosial untuk menghantar mesej yang bersifat 3R.

“Kita perlu hati-hati semasa berkomunikasi dalam media sosial. Walaupun kita bertanggapan ia hanya bergurau tapi mungkin pada pihak lain ia mengguris hati, mungkin pihak polis akan beranggapan, berdasarkan fakta berlaku pelanggaran.

“Kita hidup dan tinggal di negara majmuk dan saling hormat-menghormati, ada undang-undang dalam negara kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Pakej Perpaduan PPR/PA @MyKabel, hari ini.

Dalam masa yang sama, Fahmi turut mengingatkan rakyat yang terdiri daripada masyarakat pelbagai latar belakang supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau fitnah.

Ujarnya, tindakan sedemikian secara langsung boleh menjejaskan kerharmonian masyarakat.

Baru-baru ini, seorang buruh dipenjara enam bulan kerana membuat hantaran jelik dalam laman media sosial Facebook dengan menghina Yang di-Pertuan Agong dan membangkitkan isu perkauman.

Abdul Rahim Abdullah, 49, dihadapkan dengan empat pertuduhan mengikut Sesyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Beliau didakwa secara sedar memulakan komunikasi yang jelik sifatnya selepas membuat hantaran menyentuh isu perkauman dengan niat menyakitkan hati orang lain. – MalaysiaGazette