PUTRAJAYA – Seminggu menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai peniaga bazar atau festival raya di ibu negara mengeluh kerana mendakwa jualan amat perlahan walaupun lokasinya dipenuhi pengunjung.
Walaupun pada mulanya menyangka senario itu hanya berlaku pada minggu pertama namun apa yang mengejutkan jualan tidak menunjukkan lonjakan yang ketara.
Namun berlainan pula dengan jenama pakaian tempatan popular, Elrah Exclusive apabila mencatatkan jualan yang luar biasa di Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2023.
Pengedar Utamanya, Sass Syed berkata, pihaknya hanya mencatat jualan terendah pada hari pertama Ramadan sebanyak RM12,000.
Jelas beliau, jualan terus melonjak hari ke hari sehingga mencatatkan lebih RM45,000 pada setiap malam.
“Jualan paling tinggi di sini mencecah RM45,000 pada satu malam dan RM12,000 paling renda masa hari pertama meniaga. Malah memasuk minggu terakhir Ramadan, jualan melebihi RM45,000 di mana baki stok makin terhad.
“Namun apa yang mengejut, ada ejen menjual produk yang terhad sehingga RM300 hingga RM400 gara-gara sambutan yang luar biasa. Padahal kami menjual satu set baju Melayu bersama sampin, butang dan sapu tangan pada harga RM189.
“Justeri senario ekonomi yang suram tidak memberi kesan kepada kami kerana jualan lebih tinggi pada tahun ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sass juga menambah, persaingan dengan satu lagi jenama iaitu Bulan Bintang di lokasi sama tidak menjadi masalah kerana ia menjadi pilihan kepada pembeli untuk membuat penilaian.
“Persaingan dengan jenama itu tidak ada isu kerana ia persaingan yang sihat. Ini kerana bila ada persaingan, ia akan membuka mata pembeli untuk beli kerana mereka ada pilihan.
“Bagi kami pula, ia adalah satu peluang untuk berdaya saing lebih tinggi dan memberi petanda bagus untuk menjadi lebih positif.
“Apa pun kkuatan Elrag kerana kain yang berkualiti tinggi, butang yang ada rantai, sapu tangan yang nampak bergaya dan eksklusif,” katanya yang yakin mencapai sasaran RM500,000 sepanjang FRP 2023.
Berlainan pula denga jenama fesyen Muslimah, Zareth Zehra yang terkenal dengan penghasilan baju kurung.
Pengurusnya, Norinna Mat Ali mengakui pengunjung memang ramai yang datang berkunkung namun jualan amat perlahan.
Malah katanya, untuk mendapat jualan RM1,000 sehari cukup perit pada minggu pertama mereka beroperasi.
“Dua minggu pertama jualan memang perlahan kerana pengunjung membuat tinjauan dahulu dan hanya betul-betul membeli jika mendapat pujukan dan layanan serius daripada penjual.
“Namun pengunjung tidak membeli pada kuantiti yang banyak dan hanya membeli pakaian yang perlu sahaja di hari raya.
“Namun jualan mula naik pada minggu ketika hingga hari ini dengan lonjakan antara 50 hingga 70 peratus,” katanya.
Norinna menambah, berbanding tahun lepas, jualan amat luar biasa apabila pengunjung membeli dalam kuantiti banyak hingga tiga helai pakaian untuk ‘lepas dendam’ selepas Perintah Kawalan Pergerakan selama dua tahun gara-gara pandemik Covid-19.
Sementara itu, Zareth Zehra dan Elrah menjadi vendor yang bekerjasama dengan penganjur Festival Ramadan Putrajaya 2023 iaitu Ingenious Creative Lab (M) Sdn. Bhd. untuk menyantuni 20 anak yatim dari Rumah Bakti Nur Ain Bangi hari ini.
Dua jenama itu menyumbang baju Melayu dan baju kurung selain memberi duit raya kepada anak-anak itu dalam memberi kecerian kepada mereka menyambut Aidilfitri minggu depan. – MalaysiaGazette