Lim kit siang dipunggah Anwar antirasuah Kerajaan Perpaduan reformasi Parlimen calon pembangkang
Lim Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang seolah-olah kurang senang dengan usaha UMNO menyokong permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan pengampunan diraja.

Dalam kenyataan pada 11 April lalu, beliau meramalkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang sekiranya Najib dibebaskan dari penjara.

Memang benar Kit Siang kini tidak memegang sebarang jawatan penting yang boleh mempengaruhi dasar dan keputusan yang dibuat oleh DAP.

Namun selaku orang lama, pengaruh beliau masih kuat dan kata-katanya mungkin disalah tafsir sebagai pendirian tidak rasmi DAP, khususnya dalam isu pengampunan diraja Najib.

Hakikat bahawa tiada pemimpin kanan DAP yang tampil ‘memperbetulkan’ kenyataan Kit Siang sejak empat hari lalu menggambarkan mereka masih segan dengan beliau.

Apakah mereka tidak sedar bahawa kenyataan Kit Siang itu telah menggores perasaan sebahagian besar penyokong UMNO yang mengharapkan Najib dapat bersama mereka dalam kempen pilihan raya di enam negeri nanti?

Akar umbi UMNO masih lagi dalam proses menyesuaikan diri untuk tidur sebantal dengan DAP yang pernah menjadi musuh ketat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan semua pilihan raya sebelumnya.

Masih ramai yang menganggap kerjasama melalui pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu sebagai satu ‘mimpi ngeri’.

Jentera UMNO dijangka akan dikerah membantu kempen DAP termasuk memancing undi, memacakkan bendera, menyebarkan risalah dan berceramah sekiranya pakatan pilihan raya itu menjadi kenyataan.

Malangnya, ketika bahang pilihan raya negeri (PRN) semakin panas, Kit Siang membuat kenyataan yang bersifat tidak mesra UMNO sekali gus boleh menjejaskan usaha menubuhkan Kerajaan Perpaduan di enam negeri terbabit.

Mungkin DAP berasa selesa kerana kedudukannya yang kukuh di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan memandangkan ia tidak perlu lagi bertembung dengan Barisan Nasional (BN) yang diwakili MCA.

Tetapi Kit Siang terlupa bahawa PH yang dianggotai DAP amat memerlukan sokongan padu UMNO bagi memastikan Kerajaan Perpaduan dapat bertahan sehingga PRU16.

Pada masa yang sama, UMNO amat mendambakan sentuhan Bossku yang dicetuskan Najib untuk sekurang-kurangnya bertahan di enam negeri berkenaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mengingatkan Kit Siang bahawa DAP merupakan punca kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang.

Selain itu, Pakatan Rakyat dahulu menjadi kucar-kacir ekoran tindakan DAP yang keras membantah hasrat Pas untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah.

Kit Siang sepatutnya sedar bahawa DAP tidak boleh berlagak menjadi ‘abang besar’ dalam Kerajaan Perpaduan dengan bercakap sesedap mulut tanpa mempedulikan sensitiviti parti-parti lain khususnya UMNO.

UMNO telah banyak berkorban apabila membuat keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan walaupun terpaksa berdepan reaksi negatif daripada akar umbinya sendiri.

Bagi menghargai pengorbanan UMNO itu, jika Kit Siang tidak mahu menyokong permohonan pengampunan diraja Najib, beliau sekurang-kurangnya boleh menahan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati ‘rakan tidur sebantal’ partinya sendiri. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. penyokong UMNO fikir Lim Kit Siang tidak waras kah?
    UMNO ni tidak sedar diuntung. Dah diberi SIKU memandai nak MENYIKU DAP yang memberi laluan MENYANGKUT sebagai rakan kerajaan.
    Tidak mengenang jasa besar DAP itu… puak-puak ni memperlekehkan teguran NYATA itu. UMNO kalau sukar menerima idea KEBEBASAN RAKYAT bawalah diri cari ditempat lain..

    • Yg tak sedar diuntung ph sendiri..lagi2 dap..tanpa sokongan umno…ph tidak bentuk kerajaan perpaduan..apalagi dap yang memang dibenci rata2 org melayu..tanpa sokongan majorit melayu mana2 parti politik tak kan jadi kerajaan..kau ingat umno hadap pada kerajaan perpaduan…kau igt gps tu hadap ke pada kerajaan perpaduan..kalau dapig berani tolak singkirkan kan umno dari kerajaan..

  2. UMNO dalam kerajaan persekutuan dan bukan dalam kerajaan negeri Penang mahupun Singapore politikus Pak Pandir ooiii!

Comments are closed.