Syaiful Rizal (dua dari kiri) menyampaikan replika cek bantuan pelajar B40 UTEM kepada Tun Seri Setia Mohd Ali, yang turut dihadiri Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila.

DURIAN TUNGGAL – Yayasan Bank Rakyat (YBR) meneruskan program prihatinnya dengan menyantuni pelajar dari keluarga B40 Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM).

Selain itu, YBR juga turut menyampaikan bantuan Ramadan dan Aidilfitri anak yatim serta asnaf sempena program Semarak Kasih Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Rustam.

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, bantuan itu adalah untuk meringankan beban pelajar, anak yatim dan asnaf dalam mengharungi Ramadan dan sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Katanya, bantuan itu disampaikan Tun Seri Setia Mohd Ali yang berjiwa rakyat dan sentiasa dekat dengan masyarakat negeri itu.

“Menerusi bantuan ini setiap mereka iaitu 200 pelajar B40 UTeM, 50 anak yatim dan asnaf dari World Youth masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM300.

“Setiap tahun YBR mengambil inisiatif menyediakan bantuan sempena Ramadan bagi membantu, sekali gus memberi sinar keceriaan kepada mereka dalam membuat persiapan Aidilfitri minggu depan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Pengarah UTeM, Datuk Seri Hasim Hasan YBR; Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin; dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman.

Majlis penyerahan bantuan itu turut disertakan dengan iftar bagi meraikan mereka berbuka puasa di Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh.

Menurut Syaiful Rizal, bantuan yang melibatkan 250 pelajar itu sebagai tanda menyemai kasih dan ihsan sempena Ramadan yang barakah serta memberi sedikit kelegaan dalam menguruskan keperluan.

YBR katanya, amat menitikberatkan golongan memerlukan bantuan terutama B40, anak yatim dan asnaf serta sentiasa berusaha memperbanyakkan lagi bantuan lain bagi meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.

Beliau berharap lebih banyak program sedemikian dapat diadakan, yang merapatkan lagi silaturahim antara organisasi luar dengan masyarakat setempat. – MalaysiaGazette