Nakhoda, kru, bot tunda beserta barge dan dokumen telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan.

KUALA LUMPUR – Sebuah bot tunda ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan di kedudukan 4.0 batu nautik timur laut Pulau Labuan, Sabah, pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot terbabit ditahan pada jam 9.20 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia sedang dalam rondaan Op Sejahtera , OpKhasKuda Laut, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap bot tunda mendapati Lesen Perkapalan Domestik (DSL) telah tamat tempoh.

“Semasa pemeriksaan, bot tunda beserta barge itu dikendalikan seorang kapten bot, 58 tahun diikuti dengan seorang ketua pegawai dan ketua jurutera, masing -masing didapati berumur 33 dan 45 tahun yang merupakan warganegara Myanmar dan Indonesia.

“Bot tunda itu difahamkan dalam pelayaran dari Brunei ke Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah bot tunda telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan di kedudukan 4.0 batu nautik timur laut Pulau Labuan, pagi tadi

Tambah Nudin, bot tunda itu disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) iaitu Lesen Perkapalan Domestik (DSL) telah tamat tempoh.

Bagaimanapun, pihaknya telah menahan nakhoda, kru, bot tunda beserta barge dan dokumen terbabit dan kesemuanya telah dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, Nudin menasihati kepada pengusaha perkapalan dan bot beserta pemilik untuk memastikan dokumen dan lesen kapal atau bot sentiasa diperiksa.

Selain itu, mengikut peraturan yang ditetapkan sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang aktiviti atau salahlakujenayah di laut.

“Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon MaritimLabuan di talian 087-453777 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk sebarang tindakan,” jelasnya. – MalaysiaGazette