Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima sebanyak 6,526 permohonan bagi mendapatkan lesen menjual bunga api dan mercun sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 5,188 permohonan diluluskan dan 1,338 telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata, bagi tempoh 28 Mac 2023 hingga 9 April 2023, seramai 120 orang telah ditahan atas kesalahan melanggar syarat, tidak mempunyai lesen dan menjual bunga api yang tidak dibenarkan.

Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3,389,180.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, pemantauan dan pemeriksaan secara menyeluruh serta berterusan sedang giat dilaksanakan oleh jentera PDRM di seluruh negara termasuk penjualan secara atas talian melalui platform media sosial serta e-dagang.

Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dengan penjualan bunga api dan mercun secara haram, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada, ujar beliau. РMalaysiaGazette