Ahmad Ridhwan menunjukkan kayu yang digunakan suspek membelasah dan mencampak tukang cuci wanita yang tinggal serumah kerana ditegur bising dan khayal dadah di Banting.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lelaki di Banting, Selangor kerana disyaki memukul seorang pekerja pembersihan di sebuah bank pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai orang meminta tolong di bawah Jambatan Kampung Sawah, Banting, Selangor pada jam 3.25 pagi Khamis lalu.

Katanya, siasatan mendapati mangsa yang merupakan seorang wanita diselamatkan orang awam dan kemudian dihantar ke Hospital Banting.

“Hasil temubual awal kejadian berpunca kerana mangsa menegur tindakan suspek-suspek yang kerap membuat bising serta selalu meminum minuman keras dan mengambil dadah di dalam rumah sewa mereka yang turut didiami bersama oleh mangsa.

“Mangsa telah dipukul dan dicederakan dengan menggunakan senjata tajam dan rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan kemudian telah dicampakkan di Jambatan Kampung Sawah Banting,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, kesemua suspek berusia 30-an itu dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah ditahan di lima rumah berasingan di sekitar Banting antara pukul 1 hingga 6 petang pada hari sama kejadian.

Tambah beliau, suspek yang dilibatkan dengan ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methaphetamine dan ganja.

Katanya, penahanan suspek membawa kepada rampasan kereta Proton Perdana dan sebatang rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Ahmad Ridhwan berkata, kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat dibawah Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan menyebabkan kecederaan parah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika disabit kesalahan. – MalaysiaGazette