Gambar Hiasan. Foto MOHD ADZLAN, 02 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan disaran melaksanakan solat hajat dan doa selamat hari ini bagi mendoakan kesejateraan dan keselamatan untuk rakyat Malaysia yang berada di Sudan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajin Ismail berkata, ia merupakan saranan bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Musta’in Billah susulan konflik dan ketegangan yang berlaku di Sudan sejak Sabtu lalu.

“Semoga rakyat Malaysia sentiasa berada d ibawah lindungan Allah SWT pada setiap masa dan ketegangan di Sudan dapat dihentikan segera.

“Doa dan munajat yang dipanjangkan ke hadrat Allah SWT pada 10 malam terakhir Ramadan adalah lambang solidariti berpanjangan umat Islam untuk keamanan masyarakat di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menyarankan kerajaan agar bersedia membawa pulang rakyat Malaysia di Sudan sekiranya konflik di negara itu bertambah tegang.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara hari ini, baginda menyeru seluruh rakyat untuk bersama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di negara tersebut susulan krisis yang berlaku di negara itu ketika ini.

Pada Sabtu lalu, konflik antara tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) berlanjutan di ibu negara, Khartoum sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap konflik yang lebih meruncing di negara itu.

Serangan berhampiran pangkalan RSF di selatan Khartoum pada waktu pagi dengan cepat merebak ke kawasan lain di ibu negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum. – MalaysiaGazette