P. Ramasamy (kiri) dan Ahmad Faizal Azumu.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak seharusnya berlagak seolah-olah mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam mengenai sikap pengundi Melayu.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P. Ramasamy secara sinis berkata, bekas menteri besar Perak itu tidak akan tewas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Tambun jika beliau benar-benar memahami pengundi Melayu.

“Jika Peja (Faizal Azumu) begitu arif tentang pengundi Melayu, kenapa beliau kalah dalam pilihan raya di Parlimen Tambun kepada Perdana Menteri sekarang Anwar Ibrahim.

“Adakah beliau menjadi mangsa kesilapannya sendiri terhadap tingkah laku pengundi Melayu di kawasan itu?

“Peja tidak sepatutnya berlagak bahawa beliau adalah tempat simpanan segala ilmu tentang sikap pengundi Melayu,” kata Ramasamy dalam kenyataan.

Timbalan Menteri II Pulau Pinang itu mengulas ulasan Peja terhadap pandangan beliau sebelum ini bahawa sokongan terhadap gelombang hijau semakin merosot.

Ramasamy berkata, beliau sekurang-kurangnya tidak berpura-pura tahu atau memahami tingkah laku pengundian bukan sahaja terhadap Melayu tetapi juga kepada orang Cina dan India.

Pemimpin DAP itu menegaskan, analisis yang dibuat oleh beliau tidak begitu banyak tentang gelagat pengundian orang Melayu tetapi mengenai sifat pyrrhic gelembung gelombang hijau.

Ramasamy menegaskan, Ahmad Faizal seharusnya bersikap merendah diri sehingga ke tahap untuk mengetahui mengapa gelombang hijau mungkin menurun.

“Beliau dan pemimpin PN yang lain tidak sepatutnya bersikap seperti tahu tentang pengundi Melayu. Dalam politik, merendah diri adalah satu kebaikan, sudah tentu bukan kesombongan,” tegas Ramasamy.

Ahmad Faizal sebelum ini dilaporkan berkata, sama ada sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) merosot atau sebaliknya tidak perlu dibangkit.

Beliau secara sinis menyindir Ramsamy tidak cukup memahami sentimen orang Melayu kerana jarang bergaul dengan kaum itu.

“Kalau orang bercakap berkawan dengan orang Melayu pun tidak, mana dia tahu sentimen dalam kalangan orang Melayu. Pandangan orang seperti itu tidak perlu diperbincangkan,” kata Ahmad Faizal kepada media.

Ramasamy sebelum itu memberikan lapan faktor sokongan semakin merosot terhadap gelombang hijau yang merujuk kepada Pas dan Bersatu dalam Perikatan Nasional.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast