Saiful Lizan meninjau perairan negara semasa pelaksanaan Op Pagar Laut yang sedang dikuatkuasakan oleh Maritim Malaysia dalam mencegah aktiviti larangan.Ihsan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah merekodkan hasil rampasan laut bernilai RM7.3 juta sejak 9 April lalu sehingga semalam.

Nilai rampasan itu membabitkan sebanyak 18 kes tangkapan berkaitan pelbagai jenis aktiviti jenayah di laut termasuk penyeludupan barang terkawal yang ditumpaskan melalui Op Pagar Laut yang dilaksanakan pihaknya di perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) merangkap pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak enam kes adalah melibatkan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)cyang terdiri daripada 16 orang pelbagai warga negara.

“Manakala tiga lagi membabitkan tangkapan kes penyeludupan kontraband rokok,  tiga kes pencerobohan bot nelayan asing (BNA), satu kes penyeludupan barang kawalan minyak masak serta lima kes berkaitan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952).

“Kejayaan ini adalah hasil rutin rondaan dan penguatkuasaan dilaksanakan oleh 800 pegawai dan anggota penguat kuasa yang telah ditugaskan dalam operasi ini disamping 45 buah pelbagai aset milik agensi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjaun udara sempena Op Pagar Laut di sekitar kawasan perairan Selangor hari ini.

Saiful Lizan turut menambah, Maritim Malaysia telah memperketatkan lagi kawalan serta mengoptimumkan pengoperasian di kawasan maritim negara terutamanya di sempadan Malaysia dan Thailand serta Indonesia.

Beliau pada masa yang sama tidak menafikan selain maklumat perisikan, dan maklumat dari radar SWASLA, Maritim Malaysia juga telah menerima maklumat-maklumat awam yang telah menyumbang kepada kejayaan kes-kes tangkapan operasi ini.

Justeru, bagi mengekalkan momentum pencapaian operasi ini, saya menyeru kepada orang ramai khususnya masyarakat maritim untuk terus menjadi mata dan telinga kepada pihak Maritim Malaysia agar aktiviti jenayah maritim dapat dibanteras
habis-habisan.

Maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim boleh disalurkan secara terus dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 serta manamana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) yang berhampiran di seluruh negara atau
menghubungi Malaysian Emergency Response Services di talian 999.

Untuk rekod Op Pagar Laut dilaksanakan setiap tahun bermula 2016 dan ini merupakan tahun kelapan, melibatkan semua Maritim Negeri termasuk Zon Maritim.

Pada tahun ini Op Pagar Laut dilaksanakan bermula 9 April lalu dan akan berakhir sehingga 30 April ini. – MalaysiaGazette