Mohd Yusri Hassan Basri.

IPOH – Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga emas yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis methamphetamin di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya di Bercham di sini, semalam.

Tangkapan jam 2.20 petang itu turut membawa kepada penemuan 10.4 kilogram (kg) methamphetamin bernilai RM400,000.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tiga lelaki yang ditahan masing-masing berusia 40, 58 dan 61 tahun.

Jelas beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek berusia 58 tahun menemui satu guni berisi 10.4 kg methamphetamin.

“Hasil siasatan mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah daripada seorang warga asing di wilayah utara negara.

“Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan lebih kurang 20,000 penagih.

“Dalam serbuan sama, kita turut menyita sebuah kenderaan bernilai RM12,000 serta wang tunai RM2,200,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Yusri, hasil saringan air kencing mendapati salah seorang daripada tiga suspek itu positif dadah jenis methamphetamin.

“Reman terhadap kesemua suspek akan dipohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(A) akta sama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette