Keadaan tanah kosong selepas rumah di Taman Sri Andalas, Klang yang sepatutnta diubahsuai gagal disiapkan oleh kontraktor. Foto FAREEZ FADZIL, 19 APRIL 2023.

KLANG – Seorang lelaki rugi RM205,800 apabila mendakwa ditipu oleh syarikat kontraktor tempatan yang sepatutnya bertanggungjawab menjalankan kerja pengubahsuaian kediamannya di Taman Sri Andalas, Klang.

Abang kepada mangsa, Zainol D’zul Hafiz mendakwa, beliau mewakili adiknya iaitu Azizi Daniel Hakime Zainal untuk berurusan dengan wakil sebuah syarikat kontraktor yang dikenali sebagai Pensil Patah Studio yang beralamat di Kelantan pada 1 Oktober 2022.

Berdasarkan laporan polis, syarikat ini dilapor milik Hamisah Sison.

Dakwanya, wang sebanyak itu diserahkan selepas syarikat kontraktor ini mendakwa pelan bangunan siap telah diserahkan kepada majlis perbandaran dan sudah mendapat kelulusan.

Menurut beliau, kontraktor tersebut dipilih melalui seorang lelaki – Abu yang diperkenalkan adik iparnya, Mohd Azhari Ahmad.

Berdasarkan perjanjian, syarikat berkenaan perlu menyiapkan pengubahsuaian rumah yang bernilai RM480,000 itu selewat-lewatnya Jun ini.

Zainol D’zul Hafiz Zainal

Walau bagaimanapun sehingga kini, tidak ada apa yang dilakukan kecuali merobohkan rumah lama.

“Pemilik sebenar syarikat kontraktor itu adalah isteri Abu. Kami sekeluarga mula sedar ditipu dalam Disember selepas membayar deposit tetapi tidak ada perkembangan kerja-kerja pengubahsuaian selain rumah dirobohkan.

“Dia pecahkan rumah mungkin sekadar nak tunjuk kami bayar deposit sebelum ini kepada dia. Sepatutnya bulan Januari tahun ini sudah ada perkembangan, sepatutnya siap paling lambat pada Jun,” dakwanya lagi.

Ujar Zainol, keraguannya semakin menebal selepas mendapati syarikat kontraktor berkenaan tidak pernah mengemukakan permohonan pengubahsuaian rumah kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dalam masa yang sama, beliau mendapati pekerja syarikat kontraktor berkenaan berhadapan dengan isu pembayaran daripada Abu.

Zainol D’zul Hafiz Zainal menunjukkan tapak rumah yang dirobohkan oleh kontraktor pada sidang media di Taman Sri Andalas, Klang. Foto FAREEZ FADZIL, 19 APRIL 2023.

Dakwa beliau, Abu sering memberikan alasan yang disifatkannya sebagai tidak munasabah ketika dihubungi.

Malah dakwa Zainol lagi, lelaki tersebut bertindak mengugutnya enggan memulangkan kembali wangnya semula sekiranya dia  membuat hebahan tentang syarikat kontraktor tersebut di media sosial.

“Lelaki berkenaan memberi banyak alasan. Kali terakhir berhubung dengan dia sebulan yang lalu. Kita tanya dia dan minta penyelesaian tapi dia ugut balik kata tidak mengembalikan wang saya jika saya buat hebahan di media sosial khususnya di Facebook.

“Selepas hebahan itu dibuat ada beberapa individu yang hubungi saya mendakwa mereka juga telah ditipu syarikat yang sama,” tambahnya.

Susulan itu, Zainol telah membuat laporan polis pada 8 April yang lalu.

Jelasnya, adiknya juga berdepan risiko saman daripada pihak MPK ekoran tiada permohonan pengubahsuaian rumah.

Mohd Azahari Ahmad

Ahli perniagaan ini menambah, adik iparnya, Mohd Azahari yang terlebih dahulu mengupah kontraktor sama pada Ogos yang lalu untuk mengubah suai rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang juga mengalami nasib sama.

Mohd Azahari yang turut hadir dalam sidang media berkata,  sebanyak RM88,000 wang deposit telah dibayar kepada syarikat itu tetapi proses pembinaan rumah tergendala.

“Kos penuh untuk pengubahsuaian sepatutnya RM180,000. Sekarang ini hanya sebahagian konkrit dinding sahaja siap.

“Selain rumah saya juga tidak siap, saya rasa bersalah sebab saya perkenalkan lelaki itu dengan mak mentua dan abang ipar saya,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Zainol dan Mohd Azahari berharap agar kes berkenaan mendapat perhatian pihak berkuasa supaya syarikat kontraktor tersebut diambil tindakan mengikut lunas undang-undang.-MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Tuan Rumah boleh hubungi orang yang Bina Rumah saya 010 2090309 mungkin membantu untuk perbincangan pembinaan itu.

  2. tak kira orang mana2 pun.gelap mata duit bayak.repol je orang macam ini..hidup asik tipu 0rang.

Comments are closed.