JOHOR BAHRU – Seramai 80 warga emas dari Rumah Jagaan Nur Ehsan di Kempas, dekat sini, menerima potongan rambut secara percuma menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR), Program Rambut Raya Penuh Gaya.
Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Bandar Dato’ Onn, Noor Haslina Harun berkata, aktiviti memotong rambut itu merupakan kelainan yang mahu dibawakan selain menyumbang barangan seperti dilakukan saban tahun.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita sering melakukan program bantuan tetapi hanya dengan sumbangan barangan keperluan kepada pertubuhan atau rumah jagaan di sekitar kawasan Bandar Dato’ Onn.
“Untuk kelainan tahun ini, kita bawakan sekali tukang gunting rambut yang mana kita faham warga-warga emas ini kadang kala tidak mempunyai kesempatan untuk bersiap sebelum hari raya.
“Walaupun ringkas kami faham ia memberi makna kepada mereka yang menerimanya,” katanya ketika ditemui pada program potongan rambut percuma kepada warga emas di Kempas, hari ini.
Noor Haslina berkata, selain daripada memberikan potongan rambut secara percuma, pihaknya turut menyalurkan sumbangan kakitangan hospitak itu berupa barangan keperluan harian kepada rumah jagaan tersebut.
“Semestinya program dilaksanakan ini juga bukan semata-mata untuk menyumbang sahaja, tetapi nilai insani yang mahu kita terapkan sesama manusia memandangkan mereka yang berada di sini ada yang tidak mempunyai keluarga atau waris.
“Jadi di samping kita membantu, kita juga dapat berziarah selain menyantuni mereka yang kurang bernasib baik ini,” katanya.-MalaysiaGazette