SEMENYIH – Kerajaan Perpaduan tidak ubah seperti pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang gemar menggunakan pendekatan ‘menghukum’ berbanding mendekati mana-mana penggiat seni yang mengkritik kerajaan secara terbuka.
Penyanyi popular era 1990-an, Dayangku Intan antara anak seni yang terkena tempias itu dan didakwa bakal disekat oleh sebuah stesen televisyen dalam Program Khas Aidilfitri yang dijadualkan disiarkan pada hari raya kedua nanti.
Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid mendedahkan, dirinya rasa tertipu apabila dimaklumkan rakaman program Aidilfitri yang dibuatnya pada 11 Mac lalu tidak akan disiarkan.
“Kali ini saya tengok memang seperti biasa tidak diumum tapi saya buat program, saya dijemput untuk buat program raya, ini bukan kali pertama program raya saya buat, saya selalu dipanggil.
“Saya terkejut bila saya dapat panggilan minggu lepas mengatakan (gambar) saya dikeluarkan daripada poster program itu. Macam mana saya dikeluarkan sedangkan program itu bersambung-sambung, sudah siap disunting.
“Tiada hitam putih, tak ada apa cerita, apabila poster yang saya dikeluarkan, memang gambar saya tak ada, saya kata memang betul saya digam,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.
Sebelum ini, media melaporkan Dayangku Intan mendakwa persembahannya dalam Konsert Glam Raya yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena sambutan Aidilfitri dikeluarkan.
Beliau bagaimanapun tidak pasti mengapa keputusan itu dibuat dan hanya dimaklumkan setiap individu yang akan menyertai program RTM akan diperiksa latar belakangnya.
Katanya, perkara itu hanya dapat disahkan selepas mendapati poster terbaharu program yang akan disiarkan pada 22 April depan itu tidak disertakan gambarnya.
Dayangku Intan juga mendedahkan, beliau dimaklumkan perkara itu melalui orang dalam agensi penyiaran terbabit sambil mengesahkan sekatan itu bukan sahaja di televisyen bahkan disusuli di platform radio.
“Suami saya menelefon kembali, tumpang tanya dia kata, apabila saya Dayangku Intan dikeluarkan daripada program tersebut, adakah radio pun disekat?
“Orang dalam itu kata, biasalah selalunya apabila televisyen, radio akan mengikut (gam) kemudian,” katanya.
Dayangku Intan memberitahu, tindakan itu tidak jauh beza ketika pentadbiran BN sebelum ini yang akan menyekat mana-mana artis daripada mendapat tempat dalam agensi penyiaran.
“Kalau dulu, bila sudah buat rakaman, kita memang tidak secara rasminya bagi surat bahawa kita kena gam, kita tahu-tahu sahaja rakaman kita keluar, itu yang terakhir, dia takkan keluarkan kita dalam rakamannya.
“Bermakna kita akan sentiasa yang sudah dirakam, dikeluarkan, rakaman baharu tak boleh, waktu itu kerajaan UMNO di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan yang dilihat tidak lagi selari dengan matlamat perjuangan asal PKR lebih 10 tahun lalu memperjuangkan kebebasan bersuara dan demokrasi.
“Semasa saya bersama PKR dulu, saya sepentas baik dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, baik dengan Rafizi Ramli atau nama-nama besar PKR, semua melaungkan kebebasan untuk bersuara, demokrasi, kita nak keadilan dan kebenaran.
“Kali kedua pula saya tidak digam semasa bersama PKR di mana saya mencari bantuan PKR supaya kenapa kita tidak bebas bersuara.
“Waktu itu memang saya disekat dari segi persembahan, nyanyian semua disekat, agak lama juga namun saya nak memperjuangkan nasib anak-anak seni,” katanya.
Sebaliknya, Dayangku Intan mengakui beliau rindu zaman 1990-an di mana kerajaan tidak menyekat sebaliknya cuba mendidik artis agar lebih berdisiplin khususnya dalam menjaga penampilan.
“Masa zaman Tok Mat, saya masih ingat kita dikawal menjaga rambut, pakaian, itu semua okay, untuk memperbaiki, saya menyokong.
“Sebenarnya saya rindu dengan keadaan itu, penampilan anda dijaga, pakaian kita, rambut kita, di mana dulu ada pemberontakan yang tidak disukai begitu rupa, pada saya ia okay masa itu, manfaatnya kepada artis, imej itu terjaga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
kerajaan hancing…cakap tk serupa bikin…kencing banyak
kerajaan MADANI, memang macam tu, cakap tak serupa bikin Nanti kita ajar dia pd PRN nanti, Kasi bungkus, hahaha.
Siasat LATARBELAKANG… ingatkan ada Kes RASUAH atau Kes DADAH atau Kes Jenayah. Rupanya KES MENEGUR SALAHLAKU Kerajaan owh mungkin kena lambung TELOR kot…