Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bergambar kenangan bersama penumpang penerbangan AirAsia ke Tawau ketika membeuat tinjauan di Lapapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), Sepang. Foto MUHD NA’IM, 20 APRIL 2023.

SEPANG – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang memperincikan mekanisme terbaik untuk mengatasi isu harga tiket penerbangan yang sering menjadi rungutan penduduk rakyat Sabah dan Sarawak pada musim perayaan.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, mesyuarat Kabinet baru-baru ini bersetuju Anthony mencari jalan penyelesaian terhadap isu tersebut.

“Kita akan cuba rangka satu inisiatif untuk bantu rakyat, sebab setahun ada empat perayaan utama yang sudah tentu waktu-waktu puncaknya adalah tiga hari sebelumnya adalah paling ramai penumpang pulang ke Sabah dan Sarawak.

“Jadi kita akan lihat dan secara prinsip saya sudah dapat sokongan daripada Jemaah Menteri untuk membantu mencari jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, Anthony berkata, kementeriannya akan mencari kaedah terbaik untuk memastikan penuntut universiti awam tidak terbeban dengan harga tiket penerbangan.

“Mereka bukan sahaja balik pada musim perayaan tetapi mereka pulang semasa cuti semester dan sebagainya. Kita akan bincang dahulu kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ini adalah kumpulan kita sasarkan untuk bantu mereka.

“Mekanismenya sedang diperincikan, saya harap sedikit masa lagi  Kementerian Pengangkutan akan dapat mengumumkan (berita) baik untuk penumpang semasa musim perayaan,” jelas beliau.

Anthony berkata, beliau telah menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengenal pasti jumlah keseluruhan penuntut IPTA dari Sabah dan Sarawak yang menunut di Semenanjung dan sebaliknya.

“Kumpulan ini ada lebih 50,000 orang dan kita sasarkan bantu yang ini,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan berkenaan memberi jaminan untuk memperincikan insiden penuntut universiti berasal dari Sabah yang meluahkan rasa tidak puas hati apabila terlepas penerbangan akibat penjadualan semula penerbangan sebelumnya.

Insiden tersebut tular di media sosial baru-baru ini.

“Saya tahu kalau syarikat penerbangan yang sama buat transit dan salah satunya ditunda, saya rasa memang syarikat penerbangan yang perlu berikan tiket baharu (ganti) secara percuma sebab bukan yang disengajakan penumpang.

“Tapi saya kena dapatkan fakta terlebih dahulu. Saya juga ada lihat video yang viral itu dan saya minta Malaysia Airlines (MAS) untuk lihat perkara berkenaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast