politik UMNO
Roslan Shahir Mohd Shahir

KUALA LUMPUR – Kestabilan politik masih tidak tercapai di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) walaupun UMNO memilih untuk menyertai kerajaan campuran bersama Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, orang Melayu tetap resah kerana UMNO ketika ini cuma mempunyai 26 kerusi sehingga menjadikannya rakan kongsi yang tidak berkuku.

Menurut beliau, ia diakui oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menganggap ‘perkahwinan’ antara UMNO dan PH sebagai kahwin paksa bukannya atas dasar suka sama suka.

“Lantas perkahwinan ini sukar untuk mampu bertahan kerana sedang bercakaran sesama sendiri.

“Oleh hal yang demikian wajar sangat orang Melayu hari ini menyemak semula keutamaan serta kecenderungan politik masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roslan menambah, jika mahu melihat kuasa politik Melayu kuat dan kukuh sehingga mampu mempengaruhi dasar dan perancangan kerajaan khususnya berkaitan nasib dan masa depan Melayu-Islam dalam negara, maka wajarlah orang Melayu menyokong parti yang sedang menjulang perjuangan politik penyatuan ummah.

Beliau memberitahu, orang Melayu jangan lagi berpecah politiknya agar mereka meraih untung dan terbilang di tanah air sendiri dan bukannya merempat serta menjadi melukut di tepi gantang.

“Keperluan untuk menyatukan tuntutan politik kita wajib diutamakan.

“Proses memulihkan kedudukan politik di tanah air memerlukan kesedaran kita dan seterusnya bertindak membawa perubahan dengan satu hati dan satu suara,” jelasnya.

Roslan berkata, politik yang berjaya bukannya berjuang untuk menyelamatkan individu dan batang tubuh orang tertentu, tetapi politik yang bermaruah adalah yang meletakkan kepentingan agama dan bangsa di hadapan.

“Pastikan semaksimum mungkin orang Melayu keluar mengundi dalam pilihan raya enam negeri tidak lama lagi dan buktikan yang kita ini mampu bersatu dan mampu membina kekuatan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Lebai2.. semenjak dua ni nak tunjuk jaguh perjuangkan nusa bangsa yg sblm ni langsung tak pandang.. oooo.. nk PRN tak lama lagi.. abis PRN masuk gua balik bertapa.

Comments are closed.