Paludan negara gagal Kedah padi ringgit Malaysia
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang mempersoal tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyerangnya dan DAP menjelang Aidilfitri.

Menerusi catatan di laman blognya, veteran DAP itu menyatakan beliau telah bersara dari politik dan tidak akan memberi respon untuk mewakili parti itu bagi menjawab serang Abdul Hadi.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak boleh membiarkan Ahli Parlimen Marang itu tanpa menjawab serangan yang dibuat.

“Saya tidak tahu mengapa Hadi memilih Hari Raya Aidilfitri untuk melancarkan serangannya terhadap DAP dan saya.

“Saya telah bersara dari politik barisan hadapan DAP untuk lebih dari setahun dan saya tidak boleh dan tidak akan memberi respon bagi pihak pimpinan DAP, tetapi saya tidak boleh membiarkan serangan Hadi terhadap saya tidak dijawab,” katanya.

Menurut Kit Siang, Abdul Hadi bukanlah seorang penipu yang hebat memandangkan agak mudah baginya mendedahkan kebergantungan pemimpin Pas itu terhadap penipuan, fitnah, dan berita palsu dalam berhujah, seperti yang dapat dilihat dalam empat kejadian.

Sambil menyenaraikan keempat-empat kejadian itu, Kit Siang mendakwa, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Abdul Hadi menuduh DAP mempromosikan Islamofobia.

Katanya, sudah lima bulan berlalu sejak daripada tuduhan tidak masuk akal itu dibuat dan walaupun selepas berkali-kali dicabar, Abdul Hadi masih gagal untuk memberikan sebarang bukti untuk tuduhan liar ini.

“Dia adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang membuat pertuduhan tanpa sebarang bukti,” ujarnya.

Kit Siang turut mendakwa, semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada Mei 2014, Abdul Hadi mengingatkan ahli-ahli Pas bahawa DAP adalah parti yang membantu Pas ketika gabungan Barisan Nasional (BN) cuba untuk menumbangkan kerajaan parti itu di Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977.

Katanya, Abdul Hadi mengatakan walaupun ada banyak perkara yang amat berbeza di antara DAP dan Pas, seperti mengenai apa yang halal dan haram, alkohol, khinzir, dan hudud, kedua-dua parti ini bersetuju di antara satu sama lain untuk menghapuskan kemiskinan, kezaliman, dan rasuah, dan juga perkara-perkara buruk yang lain.

“Adakah DAP mempromosikan Islamofobia semasa membantu PAS pada tahun 1977?” soalnya.

Kit Siang turut berkata, Abdul Hadi patut tahu sekarang yang DAP bukanlah pihak di sebalik kejadian pada 2018 apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Mahathir Mohamad cuba untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD).

“Adakah Hadi akan memohon maaf untuk serangan buruknya terhadap DAP sebagai kononnya menjadi “dalang” di sebalik cubaan ratifikasi ini?” soalnya lagi.

Kata Kit Siang, sejak 2018, Abdul Hadi tidak berjaya untuk menunjukkan satu pun contoh di mana martabat Islam direndahkan dalam 55 dari 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meratifikasi ICERD atau kejadian di mana sistem monarki terkesan di 36 negara dengan sistem beraja yang telah meratifikasi ICERD.

“Selepas empat kegagalan seperti ini, apakah kredibiliti yang masih ada pada Hadi untuk bercakap benar dan jujur, berdasarkan fakta dan kebenaran dan bukannya dengan penipuan, fitnah, dan berita palsu?

“Hadi telah mengulangi tuduhan yang saya ini kononnya komunis, sedangkan dia gagal memberikan sebarang bukti.

“Sekiranya saya adalah seorang komunis, mengapa Kementerian Dalam Negeri tidak menangkap saya ketika Perikatan Nasional menjadi kerajaan di bawah pimpinan dua orang Perdana Menteri “pintu belakang” selama 32 bulan dari tahun 2020 hingga 2022?” katanya.

Kit Siang menegaskan, beliau tidak pernah menjadi seorang komunis, namun, dakwanya Abdul Hadi berkeras menuduh beliau sedemikian.

Jelasnya, seorang komunis bukanlah jelmaan syaitan seperti yang Abdul Hadi patut sedar di mana perjanjian keamanan di antara Arab Saudi dan Iran dibentuk oleh seorang komunis yang merupakan Presiden China, Xi Jinping,

“Saya sentiasa percaya yang Malaysia boleh memainkan peranan global dan salah satu peranan ini adalah untuk menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi menerusi segmen Minda Presiden Pas di Facebook menulis, DAP sebagai sebuah parti yang menyanggah Islam.

Beliau berpendapat, kenyataan Kit Siang baru-baru ini mengenai isu pembebasan Datuk Seri Najib Razak hanyalah bertujuan untuk melihat UMNO menjadi lebih kuat berbanding Pas dan Bersatu, tidak seharusnya dibaca yang tersurat sahaja.

Katanya, kenyataan berkenaan harus difahami yang tersiratnya dan beliau mendakwa kenyataan yang dibuat tidak menyembunyikan perjuangan dan hala tuju parti DAP.

Dakwanya, tidak menghairankan apabila DAP yang berprinsip dan berkonsepkan sosialisme, sekularisme dan Malaysian Malaysia mengikut undang-undang tubuhnya, mengambil pendekatan pragmatik.

Justeru, Abdul Hadi berkata, perlu dilakukan muhasabah terhadap parti yang menjadi salah satu mazhab kepada asal usul falsafah Karl Marx, yang diubah suai mengikut realiti dan situasi yang berbeza dalam masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya. – MalaysiaGazette