BANGI – Malaysia kini sedang menuju status negara tua apabila dijangkakan 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah dalam kalangan yang berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030.
Namun, pusat jagaan warga emas khusus bagi orang Islam yang patuh syariah dilihat masih kurang dalam negara.
Dari situlah tertubuhnya Darul Insyirah pada 10 tahun lalu.
Pengasas pusat jagaan dan pendidikan warga emas patuh syariah tersebut, Asral Widad Ahmad Asnawi berpendirian golongan tersebut khususnya yang beragama Islam perlu diberikan tempat yang sesuai.
Ia bukan sekadar tempat tinggal malah dalam masa yang sama kemudahan melaksanakan ibadah dan menuntut ilmu agama.
Menurut beliau, pada masa ini anak-anak tidak boleh terlalu pentingkan diri hanya kerana mahu ibu mereka berada di samping mereka setiap waktu namun dalam masa yang sama tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kerana dihimpit kesibukan bekerja setiap hari.
Asral Widad berkata, kehendak ibu yang mahu mengisi masa lapang mereka dengan ilmu agama juga perlu didengar dan dipenuhi.
Pendirian berkenaan katanya, bukanlah beerti ibu dibuang oleh anak-anak, jauh sekali begitu.
Sebaliknya beliau berkata, ia memberikan hak kepada ibu atas kehendak sendiri untuk melakukan perkara yang diinginkan.
“Saya juga tanya pandangan golongan ulama apakah haram hantar ibu bapa ke pusat jagaan. Bagi yang nak belajar tidak boleh dihalang, anak-anak tidak boleh pentingkan diri kalau memang kehendak ibu mereka.
“Ada situasi ibu tidak mahu masuk pusat penghuni tetapi anak-anak sibuk bekerja, jadi kesannya ibu akan murung jadi ini adalah tempat terbaik.
“Kita juga kena bagi peluang dan ruang untuk warga emas belajar agama sehingga ke akhir hayat mereka, selagi Allah tidak tarik nyawa, mereka berhak mendapatkan ilmu, menuntut ilmu” katanya kepada MalaysiaGazette.
Majoriti penghuni Darul Insyirah di premis yang boleh menguruskan diri sendiri adalah wanita.
Golongan emas di situ lebih mesra disapa sebagai bonda.
Melangkah masuk ke Darul Insyirah di Bangi, MalaysiaGazette melihat lebih kurang 16 bonda-bonda sedang tekun mengaji.
Bukan hanya mengaji, malah golongan warga emas di pusat jagaan berkenaan belajar tentang tafsir al-Quran dan banyak lagi ilmu agama menerusi 10 tenaga pengajar berasingan kepakaran.
“Kita nasihatkan bonda-bonda di sini cerita kepada anak-anak keluarga apa yang mereka belajar di sini, berdakwah dengan ahli keluarga,” tambahnya.
Sebagai muslim, Asral Widad juga menjadikan Darul Insyirah sebagai salah satu caranya menunjukkan kesyukurannya kepada sang pencipta selepas anaknya yang sebelum ini bertarung dengan leukemia akhirnya kembali sihat.
Meskipun tidak mudah baginya, namun beliau tetap mencabar diri sendiri membuka pusat jagaan patuh syariah.
Beliau mahu pusat jagaan berkenaan benar-benar memenuhi keperluan rohani golongan warga emas.
Selain pusat jagaan untuk golongan warga emas yang masih mampu menguruskan diri, Darul Insyirah juga menawarkan perkhidmatan menjaga warga emas yang terlantar.
Sambutan baik dan peningkatan jumlah permohonan, Asral Widad bakal menubuhkan Wisma Darul Insyirah di bangunan yang lebih besar demi keselesaan penghuninya yang bakal bertambah.
Menjadi hub kajian, beliau berharap lebih banyak pusat jagaan warga emas patuh syariah diwujudkan dengan konsep yang sama atau lebih baik berbanding Darul Insyirah.-MalaysiaGazette
Alhamdulillah. saya juga setuju dengan jika ibu bapa mahu belajar di pusat jagaan warga emas ini.daripada ibu bapa meluangkan masa dengan facebook dan tiktok. lebih baik belajar ilmu untuk persediaan husnul khotimah.