BANGI – Hajat dan niat warga emas, Siti Rugayah Masduki, 66 tahun sejak muda dilihat berbeza sedikit daripada yang lain apabila beliau mahu mencari satu tempat khusus menimba ilmu agama, mengisi sisa-sisa kehidupan fokus kepada beribadat.
Bukan tidak mahu berkumpul, tinggal bersama-sama anak dan cucu sebaliknya beliau mahu mengisi masa lapangnya dengan menambah ilmu agamanya untuk bekalan di akhirat kelak.
Dari situlah Siti Rugayah mula menjadi penghuni pusat jagaan dan pendidikan warga emas patuh syariah, Darul Insyirah, empat tahun lalu.
“Memang saya berhajat sebelum bersara saya beritahu anak-anak kalau bersara saya tidak mahu duduk di rumah, nak cari tempat yang boleh tambah ilmu agama saya. 2017 saya beritahu anak-anak hajat saya
“Saya nak satu tempat yang saya boleh belajar banyak, selain jumpa kawan seumur saya, saya boleh menimba ilmu agama,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Walaupun pada mulanya dua daripada tiga orang anaknya tidak bersetuju dengan keputusan untuk tinggal di pusat jagaan tersebut, namun Siti Rugayah yang kehilangan suami pada 2017 tetap dengan keputusan sambil memberi keyakinan secara konsisten bahawa Darul Insyirah adalah tempat yang sesuai untuknya.
Tidak dinafikan, anak-anak enggan melepaskannya kerana bimbang persepsi ahli keluarga yang lain dan masyarakat bahawa satu-satunya ibu dibuang.
Namun wanita berkenaan menegaskan, ia tidak bermakna anak-anak tidak mampu menjaga ibu mereka namun ia adalah ruang untuk Siti Rugayah menambah ilmu agama, meluangkan masa bersama-sama rakan sebayanya.
“Saya anak tiga orang, dulu yang sulung dengan bongsu berat hati lepaskan saya masul Darul Insyirah. Mereka risau nanti apa pandangan orang dan jiran-jiran nanti orang fikir mereka buang ibu mereka. Anak yang kedua pula terbuka asalkan saya gembira buat perkara yang saya mahu
“Adik-beradik saya semua setuju. Lama-kelamaan mereka lihat saya pun gembira di sini mereka lama-lama menerimanya. Sini semua ada, diajar mengaji, ada tadarus al-Quran, kita sembahyang jemaah setiap waktu. Ada taskirah semua ada,” jelasnya.
Sementara itu, salah seorang penghuni Darul Insyirah yang paling lama, Kamariah Ibrahim, 76 bersyukur niatnya diterima baik oleh tiga orang anaknya sejak beliau menyuarakan niatnya itu.
Ujarnya, anak-anaknya yang bekerja di Kuala Lumpur faham bahawa Kamariah bosan ketika bersendirian di rumah.
“Duduk di kota raya ni, anak-anak bekerja, saya duduk di rumah. Jadi rasa bosan nak cari tempat untuk mengaji jadi cari-cari kemudian berkenan dengan Darul Insyirah.
“Anak-anak menggalakkan sebab daripada saya hanya duduk di rumah, nanti saya bosan dan murung jadi mereka turutkan keputusan saya,” jelasnya.
Kamariah berkata, setiap masanya di Darul Insyirah terisi dengan aktiviti keagamaan, kerohanian bersama-sama warga emas yang lain membuatkannya tidak merasa sunyi.
“Kalau duduk di rumah banyak tengok televisyen, sekarang televisyen sebahagian sahaja yang elok kebanyakan lagha, di sini mengaji ikut jadual, ada tadarus al-Quran, ada belajar agama, tidak ada buang masa, orang tua nak buat apa lagi kan, jadi di sini tidak bosan.
“Di sini tidak ada masa untuk orang macam saya buang masa buat perkara yang tidak betul. Dah tua-tua ni apa lagi nak buat, perkara macam ni yang saya cari buat tambah amalan.
“Kalau dulu banyak tidak tahu. Ini semua adalah bekalan saya. Lagipun masih boleh jumpa keluarga sebulan sekali atau dua kali,” tambah warga emas yang telah menghuni Darul Insyirah selama lapan tahun.
Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap anak-anak yang bersetuju dengan keputusan ibu bapa mereka untuk menghuni pusat jagaan kerana ia bukan semata-mata alasan yang direka untuk enggan menjaga insan yang menjaga dan melahirkan.-MalaysiaGazette