Kit Siang naratif Hadi gagal Pas rakyat bangsa Malaysia
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Kehadiran masyarakat pelbagai kaum dan agama pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran istana, pemimpin politik dan orang kebanyakan membuktikan solidariti dan fikiran terbuka rakyat di negara ini.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, situasi itu menunjukkan rakyat masih percaya dengan gagasan Bangsa Malaysia, walaupun tokoh yang mengilhamkan Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia telah mengabaikannya.

Sehubungan itu, menurut beliau, kerajaan seharusnya memperkukuhkan penghayatan lima prinsip Rukun Negara dalam masyarakat dengan menubuhkan kelab Rukun Negara di seluruh negara.

“Langkah pertama adalah dengan membentangkan usul pada sidang Parlimen Mei atau Jun ini bagi menyatakan sokongan terhadap aspirasi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi menjadi negara ini sebagai ‘sinar dalam dunia yang sukar dan keliru’.

“Selain itu, ia juga bagi memikirkan jalan bagi mempromosi Malaysia sebagai negara contoh kepada dunia dari segi penganjuran dialog antara etnik, agama, budaya dan peradaban,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang menambah, Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk memainkan peranan tersebut memandangkan ia merupakan negara majoriti Muslim yang menghimpunkan empat peradaban besar iaitu Melayu-Islam, Cina, India dan Barat.

Beliau memberitahu, daripada 55 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), hanya empat negara yang mempunyai kurang daripada 65 peratus majoriti Muslim iaitu Malaysia, Lubnan, Sierra Leone dan Nigeria.

Kit Siang juga percaya Malaysia adalah lebih layak berbanding tiga negara Islam lain dari segi penganjuran dialog tersebut.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau wilayah menyambut Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kejayaan pelakon, Tan Sri Michelle Yeoh meraih anugerah Oscar dan pemilihan filem ‘Tiger Stripes’ arahan Amanda Nell Eu bagi Minggu Kritik Antrabangsa Cannes ke-62 tahun ini membuktikan rakyat Malaysia mampu mencapai standard bertaraf dunia.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan wilayah seharusnya melihat Michelle dan Amanda sebagai model Impian Malaysia untuk Malaysia bagi menyempurnakan aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.

“Marilah kita menghidupkan kembali semangat Piala Thomas pada tahun 1950-an dan 1960-an bagi menunjukkan rakyat Malaysia mampu menjadi juara dunia,” katanya. – MalaysiaGazette