Pemain Malaysia, Muhammad Akhyar Abdul Rashid cuba merampas bola dari pemain Hong Kong, Fung Hing Wa pada perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan tarikh aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 bagi skuad Harimau Malaya, Jun ini.

FAM menerusi hantaran di media sosial memaklumkan aksi menentang pasukan di ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon akan diadakan pada 14 Jun (Rabu), diikuti aksi menentang Yaman (ke-157) pada 20 Jun (Selasa).

Kedua-dua perlawanan pasukan Malaysia, yang menduduki ranking ke-138 dunia akan berlangsung pada 9 malam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu bagi memberikan peluang kepada peminat di Pantai Timur menyaksikan aksi pasukan kebangsaan.

FAM sebelum ini mengumumkan harga tiket kekal pada kadar RM30 bagi dewasa.

Skuad kendalian Kim Pan Gon yang mengharungi dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada bulan lepas, mencatat kemenangan 1-0 dan 2-0 masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong.

Stadium Nasional Bukit Jalil yang menjadi venue keramat skuad Harimau Malaya, tidak dapat digunakan berikutan kerja-kerja penggantian rumput pada masa ini. – Bernama