KUALA LUMPUR – Jabatan Kerja Raya akan menanam cerucuk besi di tempat kejadian tanah runtuh yang berlaku semalam di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Bukit Tunku, Jalan Duta di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, cerucuk besi itu akan ditanam dalam dua fasa secara berperingkat bermula Jumaat ini.
Kerja-kerja fasa pertama akan mengambil masa dua minggu untuk dilaksanakan sepenuhnya di seluruh kawasan tanah runtuh itu.
“Sepanjang tempoh pemasangan yang bermula Jumaat ini, pemasangan cecuruk besi akan dilakukan di sempadan pagar Gelanggang Tenis Institut Integriti Malaysia (IIM), yang akan mengambil masa dua hari.
“Selepas itu, kita akan membuka jalan akses baharu menghubungkan bangunan MACA dan mengeluarkan lebih 50 kenderaan termasuk motosikal, kereta dan bas milik pegawai dan kakitangan yang tersadai sejak Selasa lalu,” katanya dalam sidang media di IPD Sentul hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama kesemua pasukan teknikal berhubung tindakan susulan dalam kejadian tanah runtuh tersebut di IPD Sentul bermula 3 petang tadi.
Katanya, mesyuarat juga mengekalkan hasil siasatan awal yang mendedahkan kejadian tanah runtuh itu berlaku disebabkan dua faktor iaitu kebocoran paip di bawah tanah dan takungan air di bangunan berusia lebih 40 tahun itu.
Beliau juga mengakui, kejadian seumpama itu pernah terjadi di lokasi yang sama tiga tahun lalu dan kerja penampalan telah dilaksanakan oleh MACA ketika itu.
Tambah beliu dalam perkembangan sama, seterusnya pasukan teknikal bersama JKR akan memulakan kerja penanaman cerucuk besi fasa kedua meliputi semua kawasan kejadian tanah runtuh yang akan mengambil masa dua minggu untuk dilaksanakan sepenuhnya.
Katanya, langkah pemasangan cerucuk besi disegerakan selepas pemantauan di lokais kejadian sejak pagi tadi mendapati masih berlaku pergerakan tanah sehingga ada runtuhan kecil sehingga satu meter.
“Malah, penelitian pasukan teknikal yang terdiri daripada Jabatan MIneral dan Geosains itu juga mendapati runtuhan tanah sudah masuk di kawasan pagar mendekati gelanggang tenis IIM.
“Justeru, JKR juga sudah meminta kontraktor yang terlibat dalam kerja di lapangan memasang segera alat pengesan pergerakan tanah, yang mana ia akan dipasang di 10 titik panas untuk mengesan pergerakan tanah.
“Jika ada pergerakan tanah berlaku, peranti itu akan memberi isyrat segera dan kami akan mengarahkan semua petugas pasukan teknikal yang sedang bertugas di lapangan berpindah segera dari lokasi runtuhan serta merta,” katanya lagi.
Bermula tengahari tadi tegas Eng Lai lagi, kerja pemasangan kanvas sudah dimulakan sejak tengahari tadi yang akan memakan masa dua hari iaitu sehingga esok.
“Tujuan penutupan kawasan runtuh itu dengan kanvas dibuat untuk menahan sebarang aliran air dan cegah aliran air meredap ke dalam tanah dan turun ke bawah,” tegasnya.-MalaysiaGazette