Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memeriksa kawasan tanah runtuh berdekatan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR- Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat analisis tapak terhadap runtuhan tanah bagi menentukan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di Bukit Tunku, di sini, selamat diduduki.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamad berkata, keputusannya akan dikeluarkan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

“Sehingga keputusan analisa itu diperolehi, kita tidak akan membenarkan pegawai-pegawai di MACA bertugas di bangunan ini sehingga kita mendapat clearance daripada pihak yang bertanggungjawab,” katanya selepas meninjau kawasan runtuhan itu, hari ini.

Pada Selasa lalu, kejadian tanah runtuh mengakibatkan pondok pengawal yang terletak depan bangunan MACA tertimbus.

Sementara itu, ditanya mengenai pergerakan tanah baharu,  Zulkapli berkata, pihaknya belum mendapat maklumat kerana enam sistem pengesan akan dipasang pada hari ini. – MalaysiaGazette