Foto video media sosial.

KUALA LUMPUR –  Video Kuartet 4×100 meter wanita negara menjadi tular hari ini selepas mereka berjaya memenangi emas pada aksi final di Kejohanan Terbuka Singapura semalam menjelang temasya Sukan Sea Kemboja awal bulan depan.

Kuartet Malaysia memenangi tempat pertama menerusi catatan masa 45.70 saat(s) mengatasi Singapura di kedudukan kedua (45.82s) manakala ketiga milik Thailand (46.06s).

Menerusi gandingan mantap Azreen Nabila Alias selaku pelari pertama diikuti Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling berjaya menghadirkan pingat emas buat mereka walaupun menerima tentangan sengit daripada wakil tuan rumah.

Lebih menarik, netizen memuji kuartet ini di mana tiga daripada mereka menutup aurat di mana Nur Aishah Rofina paling mencuri tumpuan dengan pecutan pantas sebagai pelari terakhir.

Dia memotong wakil tuan rumah pada saat akhir turut mendapat perhatian ramai sekali gus beranggapan dia mampu menggegarkan arena trek negara kelak.

Nur Aishah Rofina yang berusia 23 tahun akan membuat penampilan pertama di temasya dwi tahunan di Kemboja nanti.

Sebelum ini, catatan terbaik yang dicipta kuartet 4×100 m wanita itu adalah pada Kejohanan Terbuka Malaysia menerusi catatan 45.75 s.

Mengikut rekod, Terbuka Singapura adalah medan terakhir buat atlet olahraga negara untuk memperbaiki pencapaian masing-masing sebelum mereka berlepas ke Sukan Sea Kemboja yang akan membuka tirai 3 Mei ini. – MalaysiaGazette