Zaharudin Najib
Zaharudin Muhammad

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Zaharudin Muhammad berpandangan, pengampunan diraja bagi membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari penjara adalah proses yang lebih dekat dengan kaedah Islam.

Beliau yang juga menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata, langkah itu adalah lebih baik berbanding mengekalkan Najib dalam penjara sehingga tempoh hukuman berakhir.

Yang Dipertua Pas Kawasan Subang itu menambah, cuma dalam Islam, kes tidak terus dibuang setelah pengampunan diberikan dan ia perlu dibicarakan semula.

“Di sini mungkin ada sedikit kelompangan ruang dalam sistem perundangan kita untuk mendapatkan keadilan dalam sistem Islam.

“Cuma yang lebih dekat dengan keadilan dan Islam adalah tersalah melepaskan orang yang bersalah adalah lebih baik daripada tersalah menghukum orang yang tidak bersalah,” katanya.

Zaharudin berkata demikian seperti dipetik dari rakaman video yang dikongsi dalam laman Facebook Najib Razak hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu pengampunan diraja untuk Najib yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah kes SRC International Sdn Bhd ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

Selain itu, Mahkamah Persekutuan pada 31 Mac lalu menolak permohonan Najib untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan tersebut.

Najib telah memohon untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong namun setakat semalam, petisyen yang dikemukakan bekas Presiden UMNO itu masih belum dibincangkan oleh Lembaga Pengampunan yang turut dianggotai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, Zaharudin mendakwa, secara umumnya daripada perspektif syariah, kes yang dihadapi Najib tidak mempunyai asas dengan berasaskan beberapa sebab tertentu.

Menurut beliau, yang pertama, kes itu dibicarakan oleh seorang hakim yang ada keraguan dan tidak dipersetujui oleh pihak yang terlibat iaitu Najib sendiri.

“Jika tidak ada sebab yang munasabah sekali pun, itu merupakan hak orang yang didakwa dalam Islam.

“Apatah lagi dalam kes ini, Najib berulang kali membantah Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas isu konflik kepentingan,” jelasnya.

Tambah Zaharudin, yang kedua, hakim telah menolak beberapa bukti yang ingin dibawa oleh Najib sedangkan dalam Islam, hakim tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Beliau mesti menerima seluruh bukti yang hendak dibawa, kemudian menilai dan selepas itu barulah membuat keputusan sama ada bukti itu berasas atau tidak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. tengok lahbkeadaan nak ampun pun . orang kena hukum tak pernah mengaku bersalah . tak pernah insaf . tak pernah tobat patut ke diampun . ulamak sungsang yang mencari populariti tak perlulah didengari sangat .

    kalau orang demikian diberi keampunan lebih baik juga hakimhakim yang ada diberi kerja lain . mansuh saja kehakiman dalam negara . kerajaan tak perlu habis duit . para hakim bekerja bertungkus lumus menegak keadilan tiba2 dibabatalkan . sia sia nampak nya kerja hakim . tak payah lah ada hakim lagi . tinggal hakim2 kecil untok orang curi ayam curi duit tabung mesjid dah cukup lah . kalau menteri buat salah ampunkan lah .

Comments are closed.