Gambar hiasan.

IPOH – Seorang kanak-kanak perempuan ditemui mati lemas dalam sebuah kolam renang di rumah jiran datuknya di Tambun di sini, semalam.

Mangsa berusia tiga tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam kolam renang tersebut kira-kira jam 6.30 petang oleh abangnya berusia 15 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada jam 9.25 malam.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa berketurunan Melayu bersama keluarga pergi menziarahi saudara-mara.

“Mangsa dikatakan berada di rumah itu bersama ibunya manakala bapanya keluar menghantar saudara pulang ke tempat penginapan.

“Susulan itu, ibu mangsa dikejutkan dengan berita mangsa ditemui terapung di kolam renang berkenaan oleh abangnya sebelum dia dihantar ke HRPB,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Yusri, hasil siasat yang dijalankan ke atas mangsa mendapati punca kematian disebabkan lemas.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 33(1) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusri berkata, kejadian berkenaan merupakan kejadian keempat membabitkan kanak-kanak mati lemas di Ipoh bagi tahun ini yang berpunca daripada ditinggalkan ibu bapa.

“Polis memandang serius perkara ini dan kita akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang membiarkan kanak-kanak bawah jagaan mereka tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan hingga menyebabkan kemalangan jiwa,” tegasnya. – MalaysiaGazette