LIPIS – Lebih 10,000 penduduk tempatan memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Dewan Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, di Lipis, Pahang hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata majlis julung pertama kali diadakan itu mendapat sambutan luar jangka terdiri daripada pelbagi lapisan masyarakat.

Hadir sama memeriahkan majlis Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Masyarakat orang asli turut memeriah majlis Aidilfitri pada kali ini

”Pengunjung dari negeri Pahang dan serata negeri lain  hadir ke jamuan kali ini.

”Lazimnya semasa saya Exco dulu, To Batin minta sambutan dijalankan secara berasingan,tetapi kali ini mereka (orang Asli) hendak diadakan sekali, jadi ramai sungguh masyarakat orang asli hadir.

”Mulanya jangkakan 7,000 pengunjung tapi difahamkan lebih 10,000 yang hadir, kami memang sediakan makan lebih untuk jamuan kali ini,” katanya.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Pahang di Dewan Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan,Lipis,Pahang hari ini mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat

Pelbagai menu tradisi Aidilfitri disediakan seperti lemang, ketupat, nasi minyak.

Majlis bermula jam 3 petang berakhir 7 malam turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan kehadiran masyarakat orang asli.

Menurut Wan Rosdy, sambutan majlis Aidilfitri bertepatan dengan  nilai penting Kerajaan Perpaduan dan Malaysia Madani iaitu keterangkuman di mana tetamu yang hadir terdiri daripada pelbagai kaum.

Salah seorang wanita orang Asli menidurkan anaknya ketika beratur mengambil makanan

“Kita mahu memastikan semua pihak disantuni dengan selayaknya. Kami di Pahang mengambil serius perkara ini.

“Sebab itulah, seperti yang disaksikan sebentar tadi semasa Datuk Seri Presiden melawat Pos Betau, iaitu kawasan penempatan orang asli di kawasan Jelai ini, kerajaan negeri telah mengusahakan dua perkara penting iaitu kemudahan klinik kesihatan yang lengkap dan bantuan aktiviti ekonomi melalui Pusat Tenun Diraja Betau.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ahamd Zahid selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang sudi meluangkan masa melawat Pos Betau meskipun dalam suasana kemeriahan Aidilfitri,” katanya. – MalaysiaGazette