Foto mesyuarat yang dikongsi Adam Adli di Facebook beliau.

KUALA LUMPUR – Sayap-sayap pemuda parti dalam Kerajaan Perpaduan akan mengadakan konvensyen pertama di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Mei ini.

Ketua Angkatan Muda PKR, Adam Adli Abdul Halim berkata, mesyuarat pertama sayap-sayap pemuda dan wanita Kerajaan Perpaduan telah berlangsung dengan jayanya malam tadi.

Mesyuarat tersebut diselaraskan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh.

“Terima kasih Dr. Akmal Saleh yang turut segera membantu penyelarasan dalam kalangan Pemuda BN untuk menjayakan pertemuan ini dalam notis yang singkat.

“Sekretariat kerja awal sayap-sayap pemuda Kerajaan Perpaduan telah ditubuhkan dianggotai oleh setiausaha-setiausaha dari setiap anggota komponen.

“Tugasan pertama adalah menjayakan Konvensyen Sayap Pemuda yang pertama 14 Mei ini di WTCKL,” katanya dalam kenyataan.

Adam Adli berkata, bukan mudah untuk menggerakkan gabungan serba rencam.

Sebagai sebuah gabungan yang amat besar, katanya, tidak ada mana-mana pihak boleh bergerak secara bersendirian.

“Kena seiring dengan semua yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan. Dengan pertemuan ini, kita sedia untuk gerak bersama dan kita tidak akan ambil masa yang lama. Siap dan siaga. Jalan terus!” katanya.

Sementara itu Akmal dalam kenyataan ringkas berkata, hubungan persahabatan dalam Kerajaan Perpaduan harus dimulakan dengan sifat menghormati antara satu sama lain.

“Untuk mengekalkan hubungan persahabatan, ia mesti bermula dengan sifat menghormati sesama sendiri dan memahami satu sama lain.

“Alhamdulilah, kita pecahkan dinding perbezaan, kita mencari persamaan untuk masa depan Malaysia yang lebih baik.

“Terima kasih sahabat pimpinan muda kerajaan perpaduan
Ini masa kita mencorakkan masa depan Malaysia,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast