KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merayu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan menyelesaikan kes sindiket penipuan pelaburan.
Difahamkan penipuan pelaburan yang membabitkan ratusan itu melibatkan membabitkan dua buah syarikat berasingan.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, syarikat itu didalangi warga tempatan dan sebuah aplikasi e-ganjaran itu dipercayai menjerat ratusan mangsa dengan jumlah kerugian ratusan juta ringgit.
Jelas beliau, pihaknya sebelum ini pernah membuat aduan dan mengadakan pertemuan dengan polis kes siasatan itu akhirnya diklafisikasikan sebagai NFA’(No Futher Action) namun pada masa sama insiden penipuan pelaburan masih berlarutan sehingga kini.
“Apa yang kami inginkan adalah satu penyiasatan dan pertuduhan di mahkamah berkait dengan sindiket penipuan ini. Semalam, pihak NFCC turut menyatakan komitmen, mereka akan membantu kes ini dengan menyalurkan maklumat kepada agensi siasatan.
“Kita mohon NFCC boleh bantu dari sudut melakukan koordinasi dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan. MHO telah menerima aduan yang begitu banyak sebelum kita mengkaji, menyiasat dan tampil membantu. Kita tahu di sini sememangnya ada berlaku penipuan pelaburan yang menjadikan rakyat mangsa,” katanya.
Berikutan usaha ini, MHO juga telah tampil menyerahkan rayuan permohonan dengan kehadiran lebih 50 individu ke NFCC di Menara Sri Wilayah semalam.
Kata Hishamuddin, pihaknya memohon NFCC supaya dapat mengarahkan agensi penguatkuasaan termasuk polis untuk menjalankan siasatan segera yang bersifat telus dan adil.
“Mangsa penipuan syarikat itu diklarifikasikan NFA oleh pihak polis sementara kes melibatkan aplikasi e-ganjaran itu sebahagian besarnya pula sebagai Rujuk kepada Lain Jabatan (ROA) atau Rujuk Lain Agensi (RLA).
“Tindakan syarikat berkenaan memperdaya para pelabur dengan menjanjikan pulangan faedah dalam bentuk Ringgit Malaysia secara bulanan adalah satu perbuatan yang bertujuan serta berniat jenayah untuk menyeleweng wang yang tidak sepatutnya dibenarkan,” ujarnya.
Tambah beliau, rata-rata para pengadu telah kehilangan simpanan yang dikumpul selama bertahun-tahun dalam sekelip mata.
Jika berlarutan, bukan sahaja dalang itu ‘kebal’ daripada undang-undang sebaliknya juga memberi gambaran pihak berkuasa tidak mengambil serius berkenaan kes penipuan yang dilakukan pengarah dan syarikat yang berdaftar.
Sebelum ini MalaysiaGazette pernah membuat laporan tentang e-ganjaran yang merupakan sebuah aplikasi yang menggunakan modus operandi dengan cara menjanjikan ganjaran baucer subsidi bagi setiap pembelian baucer syarikat berkenaan.
Syarikat ini dan aplikasi e-ganjaran itu dipercayai mula bergerak aktif di antara tahun 2020 sehingga 2022 sebelum kedua-duanya tidak dapat diakses oleh para pengadu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: