Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama lebih 300 mangsa penipuan pelaburan akan membuat rayuan kepada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) esok.

Difahamkan ini merupakan penipuan sindiket pelaburan berasakan insuran perlindungan dengan kerugian lebih RM3 bilion. 

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya dengan kerjasama Malaysia Community Crime Care (MCCC) akan hadir ke NFCC bagi meneruskan perjuangan mendapatkan keadilan bagi mangsa-mangsa ini.

Jelasnya, mangsa-mangsa sindiket penipuan dan E-ganjaran ini telah diperkenalkan dengan produk tawaran ini bermula dari 2020 yang mana aktiviti ini masih lagi berleluasa serta tidak dibendung oleh pihak berkuasa.

“Hujung tahun lalu kita sudah laporan polis dan dimaklumkan pihak berwajib sedang menyiasat namun pada masa isu ini sejurus selepas itu kes ini diletakkan dibawah ‘No Futher Action’ (NFA). Pada masa sama, aktiviti syarikat ini masih lagi terus giat berjalan.

“Kerana itu kita akan membuat rayuan kepada NFCC supaya perkara ini mendapat perhatian pihak berwajib. Kita juga akan serahkan beberapa bukti baru berkaitan kes ini.

Kita tidak boleh biarkan perkara seumpama ini terus berleluasa dan didalangi pihak tertentu yang mungkin menakutkan mangsa kononnya mereka ini ‘kebal’,” katanya, hari ini.

Hishamuddin berkata, sebelum ini sebanyak 180 mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul membabitkan penipuan skim pelaburan berkenaan.

Kata beliau, pihaknya elah mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman bagi tindakan lanjut berhubung penipuan pelaburan ini.

Kata beliau, kesemua mangsa dipercayai menyertai pelaburan ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu yang mana sindiket berkenaan dijalankan oleh sebuah syarikat pelaburan.

“Mereka yang menjadi mangsa tersebut diperdaya oleh ejen-ejen pelaburan tersebut dan ditawarkan dividen yang tinggi setiap bulan mencecah 17 peratus sebulan. 

“Syarikat berkenaan menggunakan media sosial untuk menawarkan pelbagai pakej pelaburan dengan tawaran pulangan yang tinggi yang ketika itu kebanyakan mangsa terdesak mencari wang tambahan memandangkan mereka tidak bekerja semasa PKP,” ujarnya.

Modus operandi sindiket apabila pelabur diminta membuka akaun pelaburan yang kemudiannya mereka akan diberikan suatu akaun di mana perlu menjalankan transaksi pelaburan di platform tersebut. – MalaysiaGazette