Mohd Saifen Mohamed, 38, sanggup melakonkan watak pontianak demi menambah pendapatan keluarganya.

MELAKA – Kelibat ‘pontianak’ pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di sini hari ini mencuri tumpuan tetamu yang hadir.

Apa tidaknya, solekan menyeramkan, mata merah, gigi bertaring, rambut panjang menjurai dan memakai kostum bertompok merah seperti darah sudah cukup membuatkan kanak-kanak takut melihatnya.

Namun disebalik watak jahat itu, tersembunyi niat baik mat despatch, Mohd Saifen Mohamed, 38, yang sanggup menjadi pontianak semata-mata demi menambah pendapatan keluarga.

“Sebenarnya, saya pun tak sangka percubaan kali pertama menjadi pontianak ketika Ramadan membuka rezeki buat saya kerana sejak itu ramai yang membantu termasuk memberi tips selain membeli air botol dijual.

“Rupa-rupanya, watak pontianak ini masih mendapat permintaan sebagai hiburan di rumah-rumah terbuka Aidilfitri anjuran pemimpin negeri mahu pun orang persendirian selepas Ramadan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Mohd Saifen Mohamed, 38, sanggup melakonkan watak pontianak demi menambah pendapatan keluarganya.

 

Mengulas lanjut, Mohd Saifen yang berasal dari Bachang di sini berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini, dia tidak boleh bergantung kepada satu pekerjaan semata-mata untuk menyara kehidupannya empat beranak.

“Lagi pun, isteri saya Nor Shafinaz Md Joha tidak bekerja kerana perlu menjaga dua anak kami yang masih kecil, jadi saya perlu bijak menggunakan segala ruang untuk mencari pendapatan tambahan.

“Tak perlu rasa malu, kerana saya sedar perlu melunaskan banyak hutang piutang bank dan itu lebih baik daripada sekadar mengeluh atau mengharapkan simpati semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast