Kapal Kargo yang ditahan tanpa kebenaran di perairan negara telah ditahan oleh Maritim Selangor semalam.Ihsan Maritim Selangor

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah kapal kargo yang berlabuh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 21 batu nautika barat daya Sekinchan malam tadi.

Pengarahnya, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu adalah hasil maklumat Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang yang mengesan kedudukan kapal mencurigakan kira-kira jam 1.40 petang.

“Pihak Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) memaklumkan, kapal kargo itu tidak mempunyai kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi seterusnya menahankapal kargo yang tertera tanda nama PACIFIC 07 pada badan kapal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kapal itu difahamkan dari Chittagong, Bangladesh menuju ke Singapura bersama 22 kru lelaki termasuk nakhoda berusia antara 30 hingga 59 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B (1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan kepten serta seorang kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette