MELAKA – Pernah didiagnos kanser darah dan doktor hanya meramalkan dia hanya mempunyai tempoh enam bulan untuk hidup, namun, siapa sangka semangat juang hidup yang tinggi berjaya menjadikannya usahawan restoran terkenal di sini.
Itulah dibuktikan Ahmad Zul Ariff Ismail, 36, yang membuka Restoran Serambi Emak di Kota Fesyen MITC, Ayer Keroh, di sini, Mac lalu yang terkenal dengan masakan utara bersama rakan karibnya, Kamal Hamidi Ali, 31.
Kejayaan itu lebih bermakna setelah Ariff yang juga seorang bapa tunggal disahkan bebas kanser pada 2021 selepas kali pertama doktor mengesahkan dia mengidap barah itu pada 2015.
“Sebenarnya, waktu doktor beritahu saya mengidap kanser dan hanya ada enam bukan untuk hidup, saya hanya reda dan meneruskan kehidupan seperti biasa sambil meneruskan minat saya dalam bidang nyanyian.
“Syukur Alhamdulillah, dengan izin Allah saya akhirnya disahkan bebas kanser selepas enam tahun menjalani rawatan dan terus merancang bersama Kamal untuk buka sebuah restoran,” katanya.
Tambah beliau, hasrat itu adalah bagi melepaskan rindu terhadap arwah ibunya, Esah Che Man, yang terkenal dalam kalangan orang kampung sebagai tukang masak pada majlis-majlis keraian sebelum meninggal dunia pada 2013.
Menurutnya, antara menu yang sering menjadi pilihan pelanggan daripada lebih 25 menu ditawarkan adalah nasi daging air asam, laksa ikan, sotong atau udang, bihun sup utara, gulai batang pisang dan kari kepala ikan.
“Semua menu ini dimasak dari sumber segar yang dibekalkan setiap hari menggunakan resepi tersendiri oleh arwah emak saya dan keluarga Kamal yang sebelum ini mempunyai kedai makan di Sungai Petani, Kedah.
“Harga yang ditawarkan pula seperti nasi daging air asam berharga RM15 sepinggan sehingga ada pelanggan terkejut kerana saiz hidangan besar boleh dinikmati dua orang,” katanya.
Menurut Ariff, dia sedaya upaya akan memastikan setiap hidangan mempunyai kualiti dan semua rempah digunakan adalah dihasilkan sendiri menggunakan resepi keluarga.
“Insya-Allah, dalam tempoh tiga tahun lagi, kami merancang untuk membuka cawangan kedua selain mengeluarkan pes sejuk beku sendiri supaya pelanggan Restoran Serambi Emak boleh menikmati resepi kami di mana sahaja,” katanya.
Tambahnya, ketika ini, perniagaan dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam kecuali hari Ahad dan turut menyediakan hidangan lauk pauk pada waktu makan tengah hari. – MalaysiaGazette.