ACP Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Dua suspek lelaki yang ditahan polis kerana disyaki membunuh seorang ahli perniagaan sebelum menyumbat mayat dalam bagasi dan mencampaknya dari cerun pada 26 April lalu akan didakwa ke mahkamah pada Isnin depan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan itu akan didakwa dakwa di Mahkamah Majistret Kajang.

“Kita sudah merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya negeri dan mendapat arahan untuk menuduh kedua-dua suspek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pemandu e-hailing dan rakan sejenayahnya masing-masing berusia 41 dan 22 tahun.

Tambah Mohd Zaid, kedua-dua suspek terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan dibaca bersama dengan Sek 34 akta yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Bunuh doktor PhD, polis tangkap 6 suspek termasuk rakan serumah mangsa

“Jika disabitkan kesalahannya, mereka boleh dihukum gantung sampai mati,” tegasnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussain Omar Khan dalam sidang media Selasa lalu mengesahkan mengenai insiden pembunuhan ahli perniagaan itu.

Kata beliau, mangsa berusia 41 tahun yang memiliki beberapa klinik di sekitar daerah Kajang telah diculik suspek pada 26 April lalu selepas mangsa bertemu rakan perniagaannya di sebuah restoran di Semenyih.

Kemudian mayat mangsa telah ditemui dalam keadaan kesan leher dijerut dengan wayar pengikat kabel sebelum mayat disumbat dalam beg pakaian dan dicampak dalam semak kawasan terpencil dari cerun setinggi 27 meter dari jalan utama di Hulu Langat.

Penemuan mangsa dibuat susulan tangkapan polis ke atas beberapa suspek selepas rakan serumah mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa pada 26 April lalu. – MalaysiaGazette