Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik akaun media sosial Tiktok yang disyaki memuat naik menghasut video  berunsur hasutan terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah ditahan polis.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun telah ditahan pada Jumaat lalu di kawasan tempat letak kereta di Klang.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek polis juga berjaya membuat rampasan sebuah telefon bimbit jenama VIVO Y15A dan dua keping kad sim yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah menghasut itu.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki memuat naik video yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak menerusi akaun Tiktok @ijaheartfarizahwhitenew pada 1 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Tambah Noorsiah, dalam perkembangan berkaitan, siasatan dalam kes berkenaan sedang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Menurutnya, suspek wanita berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

“Manakala suspek turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat hari ini.

“PDRM menasihatkan orang awam agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya. – MalaysiaGazette