Insiden suspek cabul wanita di sea park 3 Mei lalu akhirnya diberkas polis.

KUALA LUMPUR  – Seorang lelaki yang disyaki mencabul seorang wanita di tepi jalan di Sea Park, Petaling Jaya pada 3 Mei lalu ditahan polis di Ara Damansara, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pada 28 April lalu, pihaknya menerima laporan dari seorang wanita berusia 20-an dipeluk dari arah belakang oleh seorang lelaki ketika sedang berjalan kaki.

“Suspek yang berpakaian hitam dan memakai pelitup muka melarikan diri selepas ke arah tidak pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, bertindak atas maklumat yang diperolehi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menjejaki dan menahan suspek lelaki yang dikehendaki itu kira-kira jam 10.15 malam Jumaat lalu.

“Hasil siasatan yang dijalankan polis mendapati suspek adalah seorang yang dikehendaki polis bersabit dua kes jenayah iaitu di Wangsa Maju dan juga di Kelana Jaya,” ujarnya.

Tambah beliau, suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette