KUALA LUMPUR – Skuad Malaysia bawah 22 tahun (Malaysia B-22) mendapat sedikit tonik tambahan apabila menerima kehadiran ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon bersama pembantunya, Pau Marti Vicente di sesi latihan di Pnom Penh semalam.
Kehadiran mereka dilihat membantu memberi sokongan moral kepada para pemain menjelang pertemuan hidup mati menentang Vietnam pada pukul 8 malam ini.
Skuad kendalian E. Elavarasan itu memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang mara ke peringkat separuh akhir selepas tewas 0-2 kepada Thailand kelmarin.
Berdasarkan kedudukan terkini kumpulan B, Vietnam berada di tangga kedua dan terikat enam mata dengan Thailand.
Baki dua perlawanan terakhir bakal jadi penentu dua pasukan teratas kumpulan bagi merebut slot separuh akhir.
Namun, kelebihan akan memihak kepada Malaysia jika skuad negara berjaya menewaskan Vietnam dan wajib mengutip tiga mata dalam perlawanan terakhir menentang Singapura pada 11 Mei ini.
Bagaimanapun, berdepan Vietnam bukan satu tugas mudah buat skuad negara berdasarkan reputasi skuad Golden Star Warriors yang hadir selaku juara bertahan. – MalaysiaGazette