Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas Forum Usahawan Bumiputera Membina Daya Tahan Ekonomi Bumiputera Dan Cabaran Masa Hadapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 11 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggunakan wang sendiri untuk membantu rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu turut mencabar Anwar mendedahkan kekayaan yang dimiliki ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika era pentadbiran beliau.

“Konon nak suruh pemimpin lama isytihar kekayaan mereka dan bantu rakyat miskin. Anwar adalah satu dari pemimpin lama yang dituduh bantu kroni.

“Dedahlah kekayaan di masa jadi Timbalan Perdana Menteri seperti yang dituntut sekarang. Dan bantulah rakyat dengan duit sendiri, bukan duit kerajaan,” kata Mahathir dalam kenyataan di media sosial.

Anwar sebelum ini mencabar bekas pemimpin yang mengumpul kekayaan ketika memegang kuasa, menyerahkan separuh kekayaan mereka kepada orang Melayu sekiranya benar mahu membantu bangsa itu yang dikatakan masih ketinggalan.

Kata Perdana Menteri, ada pemimpin dilihat mengaut kekayaan untuk diri sendiri dan sanak saudara mereka, namun sehingga kini gagal membantu orang Melayu.

Anwar berkata, hanya apabila tidak lagi mentadbir negara baru mereka bersuara mahu membantu dan menyelamatkan orang Melayu yang dilupakan ketika mereka berkuasa.

Sementara itu, Mahathir memberi kebenaran kepada Anwar untuk mendedahkan ‘dokumen dalam kotak’ yang dimilikinya di mahkamah bagi membuktikan berbilion ringgit kekayaan milik beliau dan keluarga.

Mahathir berkata, beliau tidak perlu mengisytiharkan kekayaan kerana Anwar boleh berbuat demikian melalui ‘dokumen yang terdapat dalam kotak’.

“Di masa yang sama Anwar kononnya mempunyai maklumat tentang berbilion yang disapu oleh saya dan keluarga saya.

“Tak payahlah menyuruh saya buat deklarasi kekayaan saya kerana kononnya Anwar tahu. Dia punyai banyak kotak dokumen yang kononnya penuh maklumat berkenaan kekayaan saya.

“Di mahkamah tunjuk bukti yang ada pada Anwar akan kekayaan saya. Dengan itu pengisytiharan tentang kekayaan saya akan diketahui dunia. Tak perlu saya isytihar lagi. Tetapi Anwar juga perlu isytihar,” kata Mahathir.

Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu berkata, Anwar juga boleh menggunakan dokumen dalam kotak tersebut untuk mengheret pemimpin lain.

Mahathir berkata, Anwar perlu berbuat demikian kerana beliau memiliki dokumen berkenaan.

“Saya hairan dengan tindak-tanduk Datuk Seri Anwar sejak akhir-akhir ini.

“Konon ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan dia punyai berpuluh kotak berkenaan tuduhan ini. Kalau sudah ada dedahlah dan cajlah di mahkamah,” kata Mahathir. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kekayaan Atok, rakyat tunggu kes mahkamah berjalan, harap mahkamah dapat cepatkan perjalanan kes ini.

    Kekayaan Non pula, rakyat tertunggu2 response dari Bang Non untuk sahut cabaran Atok? Bukan beliau sahaja tetapi termasuklah kroni2 semasa menjawat kerusi TPM dahulu!

    Jangan tunggu lama2!!

Comments are closed.