Adly Zahari

SEREMBAN – Kerajaan menerusi Kementerian Pertahanan komited memastikan kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa terbela dan terjaga.

Timbalan Menteri, Adly Zahari berkata, ini kerana walaupun tidak lagi berkhidmat dalam ATM tetapi jasa mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara sebelum ini amat besar.

Katanya, menerusi Program Peduli Veteran (PPV) yang diperkenalkan, kerajaan dapat merealisasikan pelaksanaan dan hala tuju Kertas Putih Pertahanan (KPP).

“PPV ATM ini adalah antara inisiatif madani Kementerian Pertahanan dalam merealisasikan pelaksanaan dan hala tuju KPP.

“Ia akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan veteran tentera terus terbela dan sentiasa terpelihara sejajar dengan jasa bakti dan pengorbanan mereka terhadap keamanan dan keselamatan negara.

“Melalui PPV ini, lebih ramai veteran tentera yang terkesan dapat disantuni bagi mendengar sebarang luahan mereka secara bersemuka,” katanya selepas menyertai PPV ATM peringkat Negeri Sembilan hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Vetera (JHEV) ATM, Sophian Isswandy Ismail.

Menurut Adly, PPV ATM akan diteruskan dengan sasaran sekurang-kurangnya 800 program dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan semua veteran tentera dapat menikmati bantuan dan kemudahan yang disediakan JHEV ATM.

Justeru, katanya, Kementerian Pertahanan beriltizam untuk terus komited dalam mempertingkatkan lagi PPV melalui siri lawatan kebajikan akan datang agar tiada veteran tentera terpinggir daripada menerima insentif disediakan.

Kata beliau, data veteran tentera yang berdaftar dengan JHEV sehingga 31 Mac lalu berjumlah 178,777 iaitu 108,589 veteran berpencen dan 70,188 veteran tidak berpencen.

“PPV ATM yang dilaksanakan ini melibatkan lawatan kebajikan ke rumah veteran yang rata-ratanya mengalami sakit kritikal, uzur serta hidup dalam keadaan daif.

“Selain bertanya khabar, turut diselitkan penyampaian sumbangan bantuan peralatan seperti katil pesakit, kerusi roda, tongkat, lampin pakai buang, susu dan penyampaian sumbangan wang tunai serta kotak makanan.

Dalam program itu, Adly menyantuni empat veteran tentera iaitu Mohd Zin Khalid, 69, veteran tentera tidak berpencen yang menghidap penyakit strok, demensia dan tidak boleh bercakap.

Beliau turut menziarahi veteran berpencen, Samsuddin Ramli, 61, yang dipilih sebagai penerima Inisiatif Perumahan Veteran (bina baharu) di Kampung Sekolah Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan.

Dua lagi yang dilawati ialah M. Kandayah, 66, iaitu penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dari JHEV ATM sebanyak RM300 sebulan yang menghidap penyakit kencing manis, lemah jantung, strok di bahagian kiri badan, manakala kaki kiri telah dipotong dan terlantar.

Lawatan terakhir dalam program itu ialah ke rumah veteran, Zakaria Manaf, 69, yang terlantar lima tahun akibat strok, manakala isterinya, Asiah Baharum telah tujuh tahun mengunakan kerusi roda kerana mengalami sakit saraf. – MalaysiaGazette