Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ditemui pada Majlis Jalinan Muhibbah KPKT sempena sambutan Aidilfitri di Putrajaya, hari in

PUTRAJAYA – “Jika Pas tidak suka Coldplay, mudah sahaja. Jangan beli tiket konsert mereka. Itu sahaja, tetapi jangan halang peminat Coldplay daripada menghadiri konsert mereka,” kata Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Menurut beliau, kerajaan tetap dengan pendirian untuk menyambut kedatangan kumpulan itu di Malaysia yang dijadualkan pada November ini.

Katanya, penganjuran konsert itu bukan sahaja sekadar persembahan tetapi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang mampu memberi kesan positif selain dapat mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2025.

“Kita ingin jadikan Kuala Lumpur sebuah bandar metropolitan yang kaya dengan persembahan muzik, tarian, serta persembahan kebudayaan pelbagai kaum.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi media sosialnya juga mengucapkan selamat datang kepada Coldplay.

“Michael Jackson pun pernah membuat persembahan di Stadium Merdeka dulu. Jika Michael Jackson boleh datang kenapa Coldplay tidak boleh?,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis Jalinan Muhibbah KPKT sempena Aidilfitri, di sini, hari ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bergambar pada Majlis Jalinan Muhibbah KPKT sempena sambutan Aidilfitri di Putrajaya, hari ini

Tambah Ahli Parlimen Teluk Intan itu, falsafah Coldplay juga selaras dengan inisiatif kementeriannya untuk membersihkan alam sekitar.

Beliau merujuk inisiatif yang dilancarkan pada 2021 yang mana kumpulan rock itu menaja kapal untuk mengeluarkan sampah plastik dari sungai-sungai di Malaysia.

Dalam pada itu, Kor Ming ingin memperkenalkan anggota kumpulan itu kepada hidangan istimewa Malaysia seperti nasi lemak, nasi kerabu dan roti canai agar mereka dapat mempromosikan negara ini.

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan menyeru kerajaan untuk membatalkan konsert Coldplay, dengan mendakwa ia akan menggalakkan ‘budaya hedonisme dan sesat’ di Malaysia.

Beliau juga menyertakan gambar penyanyi kumpulan Coldplay, Chris Martin, memegang bendera lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada konsert di London.

Difahamkan, Coldplay mengumumkan untuk kembali membuat persembahan di Asia dalam konsert jelajah ‘Music of the Spheres’ di beberapa stadium pada November ini. – MalaysiaGazette