Fadzli Mohamad Kamal

KUANTAN – Sebanyak 53 menara telekomunikasi siap dibina di Pahang menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 yang bermula pada 2020.

Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sebanyak 217 menara lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan juga akan disiapkan.

”Kesemua 270 menara baharu disasarkan untuk dibina, kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka akan siap dibina pada penghujung tahun 2023.

“Manakala projek 902 stesen pemancar telah siap dibina di bawah projek menaik taraf stesen pemancar ke rangkaian 4G.

“Selain itu sasaran 69 Kampung Orang Asli mempunyai internet jalur lebar teknologi satelit telah siap dilaksanakan,” katanya pada sesi penggulungan persidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, di sini, hari ini.

Sementara itu projek sambungan gentian optik di 118,260 premis menunjukkan perkembangan yang pantas iaitu sebanyak 103,765 premis telah siap dilaksanakan, dan 14,495 premis dalam proses pelaksanaan.

Berdasarkan perkembangan terkini, kadar liputan jalur lebar mudah alih 4G untuk Negeri Pahang telah meningkat daripada 89.1% pada suku kedua 2020 (sebelum Jendela bermula) kepada 94.31% pada suku pertama 2023. – MalaysiaGazette