Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ditemui pada Majlis Jalinan Muhibah anjuran kementeriannya, di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan lebih RM300 juta bagi pembangunan dan naik taraf infrastruktur di seluruh negara.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, susulan itu pada Isnin depan, beliau akan mengumumkan peruntukan kepada bandar raya Johor bagi membaik pulih dan menaik taraf beberapa infrastruktur di negeri tersebut.

“Pada Isnin nanti, saya diperkenan untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan selepas itu saya akan mengumumkan beberapa peruntukan sebagai sentuhan kasih sayang kepada warga Johor.

“Saya janji akan peruntukkan lebih RM10 juta kepada Johor untuk menyelesaikan masalah penurapan jalan, naik taraf medan selera, pembersihan tandas awam, pembinaan taman rekreasi,” katanya pada pemberita.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Jalinan Muhibah anjuran kementeriannya, di sini, hari ini.

Turut hadir timbalan menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar; Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau tidak berpuas hati dan berdukacita dengan kualiti beberapa jalan raya di sekitar bandar raya Johor Bahru.

Alexander yang meninjau beberapa jalan raya di daerah itu berkata, sebagai pengguna jalan raya, beliau memahami keadaan dialami rakyat apabila jalan berlubang dan kurang rapi penjagaannya.

Ditanya sama ada peruntukkan pembangunan infrastuktur itu akan diberikan secara sama rata kepada setiap negeri, Kor Ming berkata, ia dibuat secara adil dan profesional.

Katanya, sejak tiga bulan lalu menerusi jelajah kasih sayang di bawah kerajaan Malaysia Madani, beliau telah melawat Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Langkawi, Perak dan akan datang ke Johor serta Negeri Sembilan.

“Peruntukkan sentuhan kasih sayang itu akan diberikan secara adil dan profesional kepada setiap negeri mengikut keperluan dan penilaian secara objektif tanpa berkecuali untuk pembangunan infrastuktur.

“Saya buat lawatan setiap negeri itu tanpa kira fahaman politik, agama dan kaum kerana perkara yang penting adalah kita semua satu keluarga dan perkara itu sudah terbukti.

“Sebelum ini, saya ke Langkawi, walaupun di sana pimpinan di bawah pembangkang dan tidak sehaluan, tapi untuk Majlis Perbandaran Langkawi, saya bagi peruntukkan besar iaitu RM2 juta.

“Ini sebagai peruntukkan untuk mereka naik taraf dua pasar utama dan bina tandas baru serta naik taraf medan selera, itu antara salah satu contohnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihat orang ramai agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka memandang kini berlaku cuaca panas yang luar biasa. – MalaysiaGazette