Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini politik UMNO Petaling Jaya di Pejabat UMNO Bahagian Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 10 MEI 2023.

PETALING JAYA – UMNO Bahagian Petaling Jaya mengesahkan tidak menerima sebarang notis mahupun surat peletakan jawatan daripada Noor Hasliza Abu Taib sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO serta 13 Ahli jawatankuasa kawasan itu.

Ketuanya, Datuk Mutalif Abdul Rahim berkata, malah Pergerakan Puteri UMNO Selangor juga tidak dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat Noor Hasliza secara mengejut itu.

“Tiada sebarang dokumen atau surat peletakan jawatan yang diterima setakat ini, baik di peringkat Bahagian mahupun di peringkat Puteri UMNO Negeri Selangor dan juga peringkat Puteri UMNO Malaysia.

“Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya yang telah bermesyuarat pada malam ini juga telah menafikan kenyataan tersebut,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Taman Medan, di sini, malam tadi.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan dakwaan kononnya sayap UMNO Bahagian Petaling Jaya lumpuh apabila 13 Ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO kawasan itu meletakkan jawatan secara beramai-ramai.

Tindakan itu diambil susulan tindakan peletakan jawatan Noor Hasliza sebagai ketua sayap parti bahagian itu yang berkuatkuasa 3 Mei lalu.

Hasrat mereka meletakkan jawatan dibuat menerusi seorang wakilnya dalam satu rakaman klip video berdurasi 42 saat yang tular sejak Selasa lalu.

Klip video itu memaparkan seorang wanita mengaku sebagai Ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya bertindak meletakkan jawatan berkuatkuasa pada 8 Mei.

Dalam pada itu, Mutalif melahirkan rasa terkilan dengan tindakan Noor Hasliza yang hanya menghantar notis peletakan jawatannya kepada Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pada 5 Mei lalu.

“Berdasarkan kandungan surat tersebut tidak dinyatakan sebarang sebab atau punca peletakkan jawatan mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya.

“Justeru, UMNO Bahagian Petaling Jaya menghormati keputusan yang lelah dibuat dan mendoakan semoga beliau akan terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.

Susulan perkembangan itu, Mutalif juga mengesahkan Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya, Nurulfarahshah Jamil dilantik untuk memangku jawatan yang kosong itu.

“Nurulfarahshah Jamil telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya berkuatkuasa serta-merta.

“Malam ini juga beliau telah mengadakan Mesyuarat Khas bersama Jawatankuasa Pergerakan Puteri Bahagian bagi memaklumkan situasi terkini dan juga telah melantik Pegawai Pegawai dan Jawatankuasa Lantikan yang baharu berdasarkan peruntukkan Perlembagaan sedia ada,” jelasnya.

Mutalif yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor menafikan pihaknya memberi tekanan kepada Noor Hasliza dan beberapa pemimpin sayap itu.

UMNO Bahagian Petaling Jaya sentiasa memberi peluang dan ruang serta tidak pernah memberi tekanan kepada mana-mana individu termasuk Ketua- Ketua di peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

“UMNO Bahagian Petaling Jaya berharap dengan penjelasan ini ianya dapat menjawab segala spekulasi yang ditimbulkan dan perkara sebegini pertu dihentikan dengan segera.

“UMNO Bahagian Petaling Jaya akan terus bergerak ke hadapan dan komited serta berdiri teguh bersama kepimpinan Negeri dan pusat khususnya dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (Selangor) pada tahun ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette