Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi perbicaraan berhubung pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan penangguhan prosiding pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan pengelakan cukai yang membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Pasukan pembelaan dan pendakwaan memohon penangguhan perbicaraan yang sepatutnya bermula jam 9.30 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy.

Pada awal bulan ini, Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan representasi kepada Pejabat Peguam Negara berhubung tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya.

Representasi lazimnya dibuat bagi memohon menarik balik atau mengurangkan tuduhan terhadap seseorang tertuduh.

Dalam surat tersebut, mahkamah dimaklumkan terdapat perkembangan baharu yang memerlukan pihak pendakwaan meneliti sama ada mahu meneruskan atau menarik balik kes tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pihaknya telah menerima surat representasi itu namun belum mempunyai masa untuk membuat temu janji dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Yang Arif, saya juga sibuk dengan beberapa kes perbicaraan jenayah yang lain. Kes ini memerlukan saya untuk membuat sedikit kajian serta fakta sebelum membawanya kepada pihak atasan saya. Oleh yang demikian, kami mohon diberikan masa sekurang-kurangnya dua bulan dari sekarang,” katanya.

Ketika disoal Muniandy adakah pasukan pendakwaan bersedia menghadapi prosiding pada hari pertama pada hari ini, kata Ahmad Akram memberitahu, pihaknya masih memerlukan masa.

“Isu yang telah dibawa dalam representasi itu agak serius dan memerlukan masa untuk dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang hujah atau keputusan. Kami mohon sedikit masa,” ujarnya.

Hakim kemudian menetapkan tarikh perbicaraan baharu iaitu pada 28 Jun, 6, 7, 28, dan 31 Julai, serta 1, 2, dan 11 Ogos.

“Prosiding kita tetapkan bermula pada 24 Ogos jika Peguam Negara menolak surat representasi itu,” kata Muniandy.

Pada 23 Mac lalu, pasukan pendakwaan memaklumkan seranai 13 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut.

Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Dia berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Rosmah dituduh melakukan kesalahan itu antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017. – MalaysiaGazette

Rosmah fail representasi perbicaraan pengubahan wang haram, elak cukai