KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor telah memfailkan representasi kepada Pejabat Peguam Negara berkaitan perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya.
Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi, di sini, menetapkan prosiding di hadapan Hakim Datuk K Muniandy selama 15 hari bermula 12 Mei ini.
Bagaimanapun, pada 2 Mei isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu mengemukakan representasi dan disahkan peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.
“Kami masih lagi menunggu jawapan daripada Pejabat Peguam Negara,” katanya.
Representasi lazimnya dibuat bagi memohon menarik balik atau mengurangkan tuduhan terhadap seseorang tertuduh.
Kini Rosmah berdepan dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.
Pada 1 September lalu, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.
Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu. – MalaysiaGazette