Dua bekas raja pecut Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi berkongsi gangsa bagi acara 100m lelaki pada edisi 2023 di Phnom Penh, Kemboja.

PHNOM PENH – Pemenang gangsa 100 meter (m) lelaki Sukan SEA 2023, Muhammad Haiqal Hanafi, menggesa orang ramai khususnya para netizen agar tidak membandingkan dirinya dan Khairul Hafiz Jantan, dengan jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Muhammad Haiqal mengingatkan diri sendiri dan Khairul Hafiz untuk mempedulikan pandangan orang ramai terhadap kemampuan mereka di atas trek kerana setiap atlet mempunyai kelebihan dan prestasi masing-masing.

“Setiap manusia ada kelebihan masing-masing … Muhammad Azeem sememangnya ada bakat tersendiri dan kami juga ada prestasi tersendiri,” katanya ketika ditemui di sini.

Semalam, Muhammad Haiqal merangkul gangsa dengan 10.443s bagi mengetepikan Khairul Hafiz yang merekodkan masa 10.448s di tangga keempat pada hari terakhir olahraga dalam temasya sukan dwitahunan kali ini.

Pelari Thailand, Soraoat Dapbang dinobatkan sebagai raja pecut baharu Asia Tenggara dengan catatan 10.37s dan hanya dibezakan dengan 0.02s untuk mengatasi Marc Brian Louis dari Singapura, yang merekodkan 10.39s bagi pingat perak.

Walaupun Khairul Hafiz menampilkan prestasi agak baik selepas dihimpit masalah kecederaan sebelum ini, Muhammad Haiqal berharap agar rakannya itu kembali lebih mantap pada masa depan.

Nama Muhammad Azeem disebut-sebut sebagai permata baharu olahraga negara selepas memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, Ogos tahun lepas.

Sementara itu, Khairul Hafiz mendedahkan beliau hampir bersara pada tahun lepas selepas tidak berjaya melayakkan diri ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Bagaimanapun, atlet dari Melaka itu berkata, jurulatih pecut kebangsaan Mohd Poad Md Kassim berjaya menghalangnya daripada bebuat demikian sehinggakan dapat disenaraikan semula bagi membarisi kuartet 4x100m yang membawa pulang gangsa pada Sukan SEA kali ini.

Dalam pada itu, pelari 400m lelaki kebangsaan Abdul Wafiy Roslan, kejayaan Umar Osman dan Shereen Samson Vallabouy yang masing-masing menjuarai acara individu lelaki serta wanita selain kejayaan kuartet lelaki membawa pulang gangsa membuka mata Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menumpukan perhatian acara berkenaan.

Abdul Wafiy bersama Umar serta dua lagi pelari Muhammad Firdaus Mohamad Zemi dan S. Tarshan merekodkan masa tiga minit dan 08.82s untuk merangkul gangsa, sekali gus menamatkan kemarau tanpa sebarang pingat selepas Malaysia kali terakhir memenangi pingat acara itu pada edisi 2013 di Myanmar, juga menerusi gangsa.

Selasa lepas, Umar, 20, bukan sahaja meraih emas malah mencipta sensasi apabila pelari berusia 20 tahun itu mencipta rekod baharu kebangsaan 46.34s sekali gus meleburkan rekod lama 46.41s milik Mohd Zaiful Zainal Abidin, yang dicatat dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Brunei pada Julai 2001.

Kejayaan dilakar Umar menyaksikan beliau menamatkan kemarau emas selama 14 tahun yang kali terakhir dimenangi Zafril Zuslaini pada edisi 2009 di Vientiane, Laos.

Shereen yang juga pemegang rekod kebangsaan mencatat masa 52.53s, merangkul emas kategori wanita sekali gus memecahkan dominasi juara empat kali berturut-turut, Nguyen Thi Huyen dari Vietnam (53.27s) yang merangkul perak, manakala gangsa milik rakan senegaranya, Nguyen Thi Hang (53.84s).

Shereen pula kembali meletakkan Malaysia pada kedudukan tertinggi podium acara 400m wanita di pentas Sukan SEA selepas N. Manimagalay kali terakhir memenanginya pada edisi 1999 di Brunei. – Bernama