KUALA LUMPUR – Empat agensi kerajaan diarah untuk mengesan pihak bertanggungjawab menyebabkan negara menanggung kerugian dianggarkan RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengeluarkan arahan kepada kesemua agensi tersebut iaitu
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau menegaskan, agensi itu diarah melakukan apa sahaja tindakan mengikut undang-undang-undang yang perlu.
Malah jelasnya, arahan itu tidak merujuk kepada pihak tertentu, sebaliknya, meminta pihak berkuasa memastikan sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan dihadapkan ke muka pengadilan.
“Jadi, sebab itu saya jadikan ini sebagai suatu keputusan dasar yang sangat serius walaupun mendapat serangan atau percubaan kelompok-kelompok terutama yang kaya, korup, harta berbilion bilion dalam dan luar negara yang menyoroknya, itu mereka nampaknya kumpul kekuatan untuk lawan (dasar kerajaan),” katanya.
Beliau menggesa, semua pihak tanpa mengira perbezaan pegangan politik, kaum dan agama untuk bersama-sama menyokong tindakan kerajaan menghukum pihak yang melakukan rasuah.
Anwar berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Malaysia Madani anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan Malaysia dianggarkan berdepan dengan jumlah kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.
Menurut EMIR Research, badan pemikir berpangkalan di Kuala Lumpur, anggaran kerugian yang dihadapi negara bermula dari Krisis Kewangan Asia pada 1997 sehingga tahun ini adalah secara konservatif dan jumlahnya berkemungkinan lebih besar.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff dipetik berkata, jumlah angka kerugian kewangan boleh menjadi jauh lebih tinggi disebabkan kesan pengganda pelaburan yang merujuk kepada impak stimulatif pelaburan awam atau swasta. – MalaysiaGazette
Haaa ..Emir Research? Dr. Rais? Baik ko siasat latar blkg mamat ni dulu…tak susah pun nak cari…salah sorangnya sebelah ko jaa…tu Lim Guan Eng…ada berani kaaa? sembang kari