LONDON – Mauricio Pochettino dilaporkan telah mencapai kesepakatan dan setuju untuk jadi pengurus baharu Chelsea pada musim depan sekaligus kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
Berita itu diumumkan oleh pakar perpindahan bola sepak, Fabrizio Romano di media sosialnya hari ini.
Chelsea kini bersedia untuk melantik Mauricio Pochettino sebagai ketua jurulatih baharu. Persetujuan penuh seperti yang diharapkan.
“Pochettino telah menerima semua syarat perjanjian jangka panjang dan ia akan ditandatangani dan diselesaikan tidak lama lagi selepas rundingan bermula sejak awal sejak April ini,” tulisnya.
The Blues terikat seri 2-2 ketika melayan kunjungan Nottingham Forest, malam tadi.
Skuad itu kini dikendalikan sementara oleh interim Frank Lampard.
Rundingan dengan Pochettino sudah bermula sejak awal April lalu dan fasa rundingan dilaporkan lancar dan positif.
Kini Chelsea dalam proses untuk mengumumkan pengurus itu kepada umum setelah Pochettino bersetuju menandatangani kontrak jangka panjang.
Chelsea sebelum ini memiliki beberapa nama lain yang dipertimbangkan termasuk Julian Nagelsmann dan juga Luis Enrique.
Namun akhirnya The Blues menguatkan tekad mereka memburu Pochettino yang tahu serba serbi bola sepak Inggeris dan kota London.
Sebelum ini, Pochettino pernah mengendalikan kelab seteru sebandar Chelsea iaitu Tottenham Hotspur yang turut mencari pengurus baharu selepas pemecatan Antonio Conte.
Chelsea sebelum ini memecat Graham Potter selepas pengurus itu bergelut dengan prestasinya dan meletakkan Chelsea di luar 10 teratas.
Pochettino hanya akan memulakan tugas sebaik sahaja musim ini berakhir.
Lampard seperti dijanjikan akan terus mengendalikan Chelsea pada baki perlawanan musim ini. – Agensi