Kon Yeow (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan di Rumah Pam Lahar Tiang di Pulau Pinang hari ini. - Gambar ihsan FB CKY.

KEPALA BATAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melakukan siasatan berhubung punca sebenar paras air Sungai Muda susut secara mendadak hingga menjejaskan 400,000 akaun pengguna di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, SPAN perlu melakukan siasatan penuh dan memastikan kejadian sama tidak berulang.

Jelas beliau, insiden itu bukan saja membuatkan pengguna di negeri ini terkesan malah lebih 200,000 akaun pengguna di Kedah turut menerima akibat sama disebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani juga perlu henti operasi kerana tidak ada air mentah untuk dirawatkan.

Kon Yeow.

“Meskipun Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor) telah memberi gambaran kejadian namun masih wajar untuk SPAN lakukan siasatan. Selaku ketua menteri di negeri ini, kita ingin tahu sebab sebenar kejadian.

“Ini kerana timbul persoalan dengan satu pintu air tidak berfungsi, sudah menjejaskan begitu banyak akaun pengguna yang mungkin melibatkan kira-kira satu atau dua juta orang, mungkin dilihat tidak penting tetapi sangat penting untuk disiasat oleh SPAN,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Pam Lahar Tiang hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut menggesa SPAN supaya memerintahkan pihak berwajib sama ada di Pulau Pinang mahu pun di Kedah supaya membuat semakan semua sistem pada baraj di sepanjang Sungai Muda ini.

Terdahulu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam laporannya mengesahkan  operasi mengabstrak sumber air mentah di Rumah Pam Lahar Tiang di sini kembali pada keadaan asal mencapai kira-kira 83 peratus.

Ia berikutan langkah cegah rintang PBAPP semalam melepaskan air mentah dari Empangan Mengkuang bagi menaikkan paras air Sungai Muda serta mengelak risiko gangguan pengoperasian LRA Sungai Dua.

Media melaporkan Muhammad Sanusi memaklumkan masalah bekalan air yang menjejaskan lebih 250,000 akaun pengguna di negeri ini dan sebahagian pengguna di Pulau Pinang sejak semalam berpunca daripada kerosakan mekanikal pada sensor automatik pada baraj Sungai Muda.

Kata beliau, kerosakan itu menyebabkan salah satu pintu air terbuka sendiri yang membawa kepada pengaliran air dalam kuantiti amat banyak terus ke laut tanpa sekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast