Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika hadir ke Majlis Jamuan Hari Raya anjuran ADUN Jeram ketika di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 15 MEI 2023.

KUALA SELANGOR – Penganjuran Sambutan Aidilfitri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri disindir oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, apa yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah mahu menunjukkan kerajaan hari ini sahaja mampu ‘bagi makan’ kepada rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia dilihat tidak bertujuan menyambut raya sebaliknya mahu rakyat khususnya negeri pembangkang di Pantai Timur memberi sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Perdana Menteri ada rumah terbuka di enam buah negeri. Dulu masa saya jadi perdana menteri, saya boleh buat satu sahaja (rumah terbuka), dia nak buat enam.

“Pasal apa dia buat enam? Pasal dia nak tunjuk kepada rakyat supaya rakyat sokong, dialah yang ‘bagi makan’ kepada orang ramai,” katanya berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Jeram malam ini.

Dr Mahathir juga melahirkan rasa kesal, pentadbiran Anwar didakwa hanya sibuk memberi tumpuan kepada penganjuran majlis besar dan tidak kepada masalah kritikal yang dihadapi orang Melayu terbanyak khususnya isu kemiskinan.

“Kita dapati kerajaan seolah-olah tidak nampak masalah orang Melayu, mereka berseronok, mereka membuat acara besar-besaran walaupun mereka berkata mereka tak akan ada acara besar-besaran.

“Sebenarnya masalah orang Melayu banyak tetapi tidak diambil berat oleh pemerintah yang ada sekarang.

“Dulu kita boleh dapat biasiswa kerajaan di universiti dan lain-lain tempat kita beri peluang berniaga, buka gerai, buka perniagaan kecil dan sederhana tetapi sekarang ini itu pun tidak diberi kepada orang Melayu,” katanya.

Beliau tidak hairan apabila kerajaan hari ini enggan memberi layanan istimewa kepada orang Melayu dengan memberi alasan bukan Melayu juga menghadapi masalah sama.

“Kita sedar orang bukan Melayu miskin juga tetapi mereka lebih mampu mengatasi kemiskinan mereka. Sebab itu apabila kita tumpukan berkenaan kemiskinan orang Melayu, jawab perdana menteri, bukan orang Melayu sahaja miskin, orang Cina pun miskin juga, India pun miskin juga.

“Sebab itu kerajaan tak boleh bagi layanan yang istimewa kepada orang Melayu. Kalau nak tengok kemiskinan, kita dapati orang Melayu yang miskin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.